Kekalahan skuad
bola sepak kebangsaan dalam pertandingan kelayakan Piala Dunia kepada pasukan
Singapura serta tumbangnya jagoan badminton negara Datuk Lee Chong Wei, dalam
Kejohanan Badminton Dunia baru-baru ini, seolah-olah mengesahkan bahawa mutu
sukan Malaysia semakin merudum. Hal ini belum lagi mengambil kira prestasi
sukan-sukan teras yang lain seperti hoki, olahraga, renang, dan sebagainya.
Kemerosotan pencapaian atlet-atlet negara ketika bertanding sama ada pada
peringkat serantau mahupun antarabangsa telah menimbulkan pelbagai tanggapan
negatif dalam kalangan peminat sukan di negara ini. Apakah atlet-atlet kita
hanya gah ketika bertanding sesama sendiri sehingga mewajarkan gelaran jaguh kampung, ataupun atlet kita kurang bermotivasi apabila
bersaing pada peringkat antarabangsa? Walau apa-apapun pertikaiannya, ternyata
pelbagai langkah konkrit dan menyeluruh perlu diambil untuk meningkatkan mutu
sukan negara, agar kita dapat duduk sama
rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain dalam bidang
sukan.
Dalam hal ini,
perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah dengan merombak jawatankuasa induk yang menaungi sesebuah persatuan
sukan. Bukan lagi rahsia, kebanyakan persatuan sukan di Malaysia dipimpin
oleh elit politik. Lihat sahaja persatuan-persatuan seperti Persatuan Bolasepak
Malaysia (FAM), Persekutuan Hoki Malaysia (PHM), dan Persatuan Badminton
Malaysia (BAM). Malangnya, para pemimpin yang dipilih secara sebulat suara ini, sering menjadikan
persatuan berkenaan sebagai medan untuk mencari pengaruh dan meneruskan agenda
politik mereka. Keghairahan memenuhi agenda peribadi, menyebabkan program pembangunan
sukan dan atlet telah dianaktirikan. Kedangkalan pengetahuan tentang bidang
sukan serta kegagalan memahami perubahan yang berlaku, mewajarkan ketandusan
pencapaian para atlet kita. Berkaitan hal ini, mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah
Ahmad Badawi pernah menyeru agar para pemimpin politik melepaskan jawatan
mereka dalam persatuan sukan agar program pembangunan sukan hanya ditangani
oleh individu yang berkelayakan. Justeru, sewajarnya barisan kepimpinan sukan
ini dirombak dan seterusnya memberikan laluan kepada muka-muka baru yang
mempunyai latar belakang bidang sukan serta beriltizam tinggi untuk memajukan
mutu sukan negara, persis kata pujangga, hanya
jauhari yang mengenal manikam.
Di samping itu, program-program pembangunan atlet juga
perlu diperbaiki dan diberi nafas baru dalam usaha melahirkan atlet yang
berdaya saing. Kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan telah
menyediakan peruntukan yang cukup untuk menyokong program-program pembangunan
sukan di negara ini seperti penubuhan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut
Sukan Negara (ISN). Program pembangunan sukan ini meliputi aspek-aspek kritikal
seperti kewangan, kejurulatihan, pemakanan, psikologi, dan sebagainya.
Berhubung dengan isu ini, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Sabri Chik pernah
menegur tentang cara pemakanan para pemain bola sepak kebangsaan ketika
bertanding dalam Kejohanan Piala Asia yang dianggap tidak bersesuaian dengan
diet para atlet. Menurutnya kebanyakan para pemain bola sepak negara lebih
menggemari roti canai, nasi lemak, dan merokok. Kegagalan menyediakan
program-program berkualiti, memungkinkan mutu sukan negara terus merudum dan
kita terus ketandusan para atlet yang berpotensi. Contohnya sejak menjuarai
Piala Thomas pada 1992, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hanya bergantung
kepada gandingan emas, Koo Ken Kiat
dan Tan Boon Heong, serta Datuk Lee Chong Wei. Misi pencarian pelapis baru
masih lagi gagal. Namun begitu, segala
kelemahan tidak harus menjadi noktah untuk kita terus berusaha. Dengan penggemblengan
usaha dan iltizam semua pihak, pastinya sinar
di hujung terowong dapat
dijelmakan untuk mengangkat kembali martabat sukan negara kita.
Selain itu, para atlet negara juga perlu didedahkan
dengan kejohanan-kejohanan antarabangsa secara lebih kerap. Penyertaan
secara berterusan amat penting dalam usaha memantapkan persembahan serta menyesuaikan
diri dalam situasi pertandingan yang
sebenarnya. Pasukan bola sepak contohnya, tidak mampu membentuk persefahaman
yang mantap jika digabungkan menjelang saat akhir pada sesebuah kejohanan
sahaja. Setiap pemain sudah pasti mempunyai latar belakang kemahiran dan
peribadi yang berbeza. Justeru, penyertaan secara berterusan dalam pelbagai
kejohanan dapat membentuk persefahaman dalam kalangan mereka seterusnya mampu
menuai hasil yang diharapkan. Pencapaian jaguh badminton negara Datuk Lee Chong
Wei dan ratu squasy negara, Datuk Nicole
Ann David sehingga membolehkan mereka berada pada kedudukan teratas senarai
pemain terbaik dunia, adalah berpunca daripada penyertaan yang aktif dalam
pertandingan peringkat antarabangsa. Perlu ditegaskan bahawa kejayaan yang
diinginkan tidak boleh dijelmakan dengan usaha secara ala kadar, ibarat melepaskan batuk di tangga.
Sebaliknya, menuntut iltizam dan kerja keras semua pihak sama ada dalam
kalangan atlet, pihak-pihak berwajib, dan malahan peminat sukan tanah air.
Di samping itu, Kementerian Pelajaran Malaysia juga
perlulah berperanan mencungkil bakat-bakat muda daripada peringkat sekolah
lagi. Kita sedia maklum bahawa para pelajar di seluruh negara begitu ramai
yang mempunyai bakat yang terpendam dalam bidang sukan. Buktinya semasa
kejohanan sukan di peringkat sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan, kita
dapati ramai pelapis muda yang berbakat dan berpotensi. Namun bakat mereka
tenggelam begitu sahaja setelah tamat zaman persekolahan. Oleh hal yang
demikian pihak Kementerian Pelajaran Malaysia perlu berkerjasama dengan
Kementerian Belia dan Sukan serta badan-badan sukan untuk menggilap bakat-bakat
muda ini hingga mampu bersaing di peringkat antarabangsa. Penubuhan
sekolah-sekolah sukan seperti Sekolah Sukan Sultan Abdul Jalil, Sekolah Sukan Tunku
Mahkota Ismail (SSTMI) Bandar Penawar dan merupakan satu alternatif bijak agar
kita tidak ketandusan pelapis dalam bidang sukan negara pada masa akan datang.
Pengambilan jurulatih serta pemain import juga
merupakan suatu usaha yang positif ke arah meningkatkan mutu sukan negara. Hal ini demikian kerana para atlet serta ahli
sukan mendapat bimbingan serta tunjuk ajar berterusan daripada jurulatih yang
berwibawa. Para pemain dapat didedahkan dengan teknik, serta kemahiran bertaraf
dunia agar pemain kita dapat duduk sama
rendah, berdiri sama tinggi dengan pemain-pemain di peringkat dunia. Selain
itu, para pemain juga akan mendapat rakan pelatih atau sparing partner yang bertaraf dunia.
Dengan pendedahan serta latihan intensif ini sudah pasti para atlet mampu
bersaing atau bertanding di peringkat antarabangsa. Tindakan FAM untuk
mengambil pemain-pemain import semula dalam Liga Bola Sepak Malaysia merupakan
usaha serampang dua mata, iaitu untuk meningkatkan mutu
sukan negara serta menyemarakkan sokongan peminat sukan kepada pasukan pilihan
mereka. Jelaslah bahawa pengambilan jurulatih dan pemain import bukan sahaja
meningkatkan prestasi atlet atau ahli sukan, malahan dapat meningkatkan imej
negara di mata dunia.
Konklusinya, kemerosotan mutu sukan negara tidak seharusnya dibiarkan berlanjutan
kerana hal ini sedikit banyak berkaitan dengan maruah kita pada peringkat
antarabangsa. Sejajar dengan usia kemerdekaan negara yang sudah menjangkau
angka lima puluh empat tahun, seharusnya telah mematangkan prestasi kita dalam
bidang sukan. Tiada salahnya untuk kita belajar dengan negara-negara seperti
Trinidad dan Tobago atau pun Kenya yang telah berjaya melayakkan diri dalam
pertandingan akhir bola sepak Piala Dunia 2006 serta mampu melahirkan atlet
olahraga bertaraf dunia. Hanya dengan kerjasama erat semua pihak bagai aur dengan tebing, misi untuk
melihat kelibat anak-anak muda Malaysia beraksi pada pusingan akhir bola sepak
Piala Dunia 2014 akan menjadi kenyataan. Peribahasa Melayu ada menyatakan pengayuh sudah ada di tangan, perahu sudah
ada di air, terserah kepada kita untuk merealisasikan impian 26 juta rakyat
Malaysia. Semoga slogan, Majulah Sukan Untuk Negara dapat
diimplementasikan.