Sejak kita mentah lagi dan darah hanya setampuk pinang,
kita telahpun dididik dan diingatkan berulang-ulang kali oleh ibu bapa dan guru
tentang kepentingan pemakanan seimbang. Satu senario yang tidak asing kepada
seseorang kanak-kanak adalah apabila ditegur oleh ibu bapa kerana enggan makan
sayur-sayuran dan hanya ingin menjamah makanan ringan. Terdapat sesetengah
pihak yang berpendapat bahawa pemakanan seimbang tidak begitu vital kepada
kesihatan seseorang individu. Menurut persepsi mereka, kehidupan manusia di
muka bumi hanyalah sementara dan harus dinikmati sepenuhnya. Oleh itu, mereka
memandang enteng terhadap kepentingan pemakanan seimbang. Pandangan ini dapat
disangkal dengan mudah kerana impak pemakanan seimbang terhadap kesihatan dan
kebahagiaan seseorang amat ketara dalam kehidupan seharian kita sebagai
manusia. Namun demikian, mengapakah masalah obesiti kian bertambah kritikal
jikalau kebanyakan komuniti sedar tentang kepentingan pemakanan seimbang?
Kajian terkini mendapati bahawa 33% daripada semua penghuni dunia ini
menghadapi masalah obesiti. Statistik ini amat meruncing kerana hal ini
bermaksud terdapat kira-kira 2 bilion orang di seluruh pelosok dunia yang
tergolong dalam kategori obes! Apakah kepentingan pemakanan seimbang yang harus
dikupas dan dibugar secara terperinci hingga ke akar umbi, bagi menyedarkan dan
menginsafkan masyarakat agar lebih peka terhadap diet mereka dan tidak bersikap
bena tak bena terhadap kesihatan dan kebajikan peribadi mereka? Marilah kita
mengkaji persoalan yang masih menjadi
polemik dalam kalangan masyarakat..
Sebagai
pembuka tirai pembincangan ini, salah satu kepentingan atau faedah pemakanan seimbang
yang jelas dan nyata adalah untuk menjadikan tumbesaran manusia lebih sempurna
dari aspek fizikal dan fisiologi. Tubuh badan akan menerima semua zat yang
diperlukan untuk menjalani aktiviti seharian tanpa menjadi lesu. Oleh itu,
seseorang yang menjaga dan mengawal pemakanannya akan memiliki keadaan fizikal
yang jauh lebih baik berbanding seseorang yang kurang prihatin terhadap diet
dan cara pemakanannya. Zat dan mineral seperti kalsium, magnesium dan fosforus
penting dalam proses pembentukan gigi dan tulang yang kuat. Kanak-kanak
khususnya yang harus mengambil zat-zat ini dalam kuantiti yang optimum supaya
dapat membesar sebaik-baiknya. Di samping itu, mineral seperti zat besi penting
untuk memastikan sistem peredaran darah seseorang itu efisien dan berfungsi
secara lancar. Kanak-kanak dan remaja memerlukan tenaga dan bahan mineral
secukupnya untuk membesar, bukan sahaja dari aspek lahiriah seperti ketinggian
dan berat badan, malah juga dari segi kelancaran fungsi organ dalaman dan
kecekapan sistem-sistem badan. Sekiranya pemakanan mereka tidak seimbang,
mereka akan mengalami pertumbuhan yang terbantut serta tidak sempurna. Hal ini
akan memudaratkan kesihatan mereka secara keseluruhannya dan akan mengakibatkan
mereka kurang berkemampuan untuk menghadapi cabaran dan dugaan hidup. Satu
tamsilan yang amat menyayat hati ialah kanak-kanak yang berada di negara-negara
Dunia Ketiga seperti Ethiopia dan Afrika Selatan yang tidak mempunyai akses
kepada makanan berkhasiat. Oleh sebab tidak berpeluang mengamalkan pemakanan
yang seimbang, kanak-kanak ini tidak dapat membesar dengan sempurna dan
kebanyakannya mereka mempunyai jangka hayat yang amat pendek, seperti 7 hingga
12 tahun sahaja. Ironinya, ramai individu di negara yang maju berupaya
mengamalkan diet yang sihat dan berkhasiat, namun mereka enggan bertindak
sedemikian.
Bertitik
tolak daripada huraian sebelum ini, manfaat lain yang diperoleh daripada
pemakanan seimbang ialah menjamin perkembangan mental seseorang yang lebih cekap
dan berkesan. Kekurangan zat makanan yang tertentu boleh menjadikan mental
seseorang itu tidak cukup cerdas atau mudah letih apabila cuba menyelesaikan
sesuatu perkara yang dialami semasa meneroka liku-liku kehidupan. Situasi ini
menjadikan seseorang itu gagal berfikir untuk menyelesaikan masalahnya dengan
lebih efektif dan rasional berbanding dengan individu yang seimbang aspek
pemakanannya. Dr Andrew McCulloch dari Mental Health Foundation telah
menjalankan penyelidikan yang mendapati bahawa pelbagai penyakit mental seperti
depresi ( kemurungan ), schizofrenia, penyakit Alzheimer dan ADHD ( Attention
Deficit Hyperactivity Disorder ) dapat dihindari sekiranya mengambil makanan
dan minuman yang seimbang dan berkhasiat. Menurut beliau, otak manusia sebagai
pusat kawalan seluruh sistem badan juga dipengaruh oleh nutrien-nutrien yang
terdapat dalam diet kita. Kajian saintifik terkini juga mengeluarkan laporan
bahawa mineral seperti kalsium dan sodium terlibat dalam proses penghantaran
impuls dalam sistem saraf badan kita. Dr McCulloch telah mengutarakan evidens
bahawa pemakanan seimbang dapat mengurangkan tekanan emosi serta meningkatkan
keupayaan seseorang individu untuk menangani dan mengatasi sesuatu masalah atau
pancaroba dengan minda yang tenang dan waras.
Sebagai
rentetan daripada perbincangan di atas, pemakanan seimbang telah terbukti dapat
mengurangkan risiko untuk menghidapi pelbagai penyakit yang berbahaya. Malnutrisi
didefinisikan sebagai mempunyai diet yang tidak seimbang, seperti mengambil
nutrien-nutrien dalam kadar yang terlalu banyak ataupun terlalu sedikit.
Makanan ringan yang digemari ramai mempunyai kandungan kolesterol, garam, gula
dan lemak yang terlalu tinggi. Sekiranya kita terlalu kerap makan makanan
ringan, kita akan mempunyai risiko tinggi untuk menghidapi penyakit obesiti,
diabetes, hipertensi dan juga strok. Sebaliknya sekiranya kita kekurangan
kalsium, fosforus dan vitamin D dalam diet harian, kita akan menghidapi
penyakit osteoporosis dan osteomalacia, iaitu tulang dan gigi menjadi lemah dan
mudah retak. Seperti yang berlaku kepada kanak-kanak di negara-negara daif,
kekurangan protein akan menyebabkan penyakit kwashiorkor dan marasmus. Penyakit
kanser juga terbukti dapat dielakkan
dengan mengamalkan pemakanan yang seimbang, terutamanya kanser payu dara,
kanser buah pinggang dan kanser hati. Oleh itu, memang tidak dapat dinafikan
bahawa jikalau kita mengambil semua nutrien, bahan mineral dan zat yang
diperlukan oleh tubuh badan dalam kuantiti yang tepat, kita akan mengurangkan
risiko diri untuk dijangkiti berbagai-bagai penyakit yang bukan sahaja
menderitakan malah juga berpotensi membawa maut. Janganlah sampai nasi menjadi
bubur, barulah kita bertindak dan mengambil berat kepentingan pemakanan seimbang kerana sesal
dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.
Kepentingan
pemakanan seimbang yang terakhir namun tidak kurang signifikannya berbanding
kepentingan yang dihuraikan sebelum ini ialah pemakanan seimbang dapat
menjimatkan kos dan perbelanjaan perubatan seseorang, khususnya golongan yang
kurang berkemampuan. Suatu soal selidik yang dijalankan iaitu Consumer
Expenditure Survey 2009 telah menganggarkan bahawa setiap individu
membelanjakan kira-kira 6.37% daripada pendapatan bulanan mereka untuk
membiayai perbelanjaan perubatan. Secara amnya, seseorang itu akan
membelanjakan sebanyak US$3,126 (RM9,975) setiap tahun semata-mata untuk
menjelaskan kos perubatan. Pada tahun 2009, kerajaan Malaysia telah
memperuntukkan perbelanjaan sebanyak RM13.8 bilion untuk menampuang segala
keperluan dan kemudahan perubatan rakyat Malaysia. Senario ini tidak harus berlaku,
kerana kita sewajarnya berusaha menjaga kesihatan diri dan tidak bergantung
kepada kerajaan untuk menyelesaikan masalah-masalah kita. Jikalau kita
mengamalkan pemakanan yang seimbang, kita mampu menjimatkan perbelanjaan
perubatan sebanyak beribu-ribu ringgit dan wang tersebut dapat disimpan untuk
masa kecemasan yang lain. Dari aspek ekonomi negara pula, berbilion-bilion
ringgit dapat difokuskan bagi menjana pembangunan dan perkembangan dalam
industri lain seperti industri pelancongan dan penyelidikan. Sesetengah pihak
akan mengemukakan hujah bahawa pemakanan seimbang tidak begitu penting, kerana
sains dan teknologi moden dalam bidang perubatan menjelang era pascaglobalisasi
ini mampu mengubati hampir setiap penyakit. Memang benar, bidang perubatan kini
semakin canggih hasil daripada daya intelek golongan saintis dan pakar
perubatan. Namun demikian, persis madah pujangga Melayu ada berbunyi, mencegah
lebih baik daripada mengubati. Dalam konteks ini, peribahasa ini menegaskan
bahawa lebih baik kita menghindari diri daripada menghidapi sesuatu penyakit
daripada mengubati penyakit tersebut selepas dijangkiti. Hal ini juga dapat
menjimatkan kos dan perbelanjaan kita. Membeli makanan berkhasiat seperti
buah-buahan dan sayur-sayuran jauh lebih murah daripada membeli ubat-ubatan
daripada farmasi.
Tuntasnya,
kepentingan pemakanan seimbang amat jelas dan ketara dalam kehidupan seharian
setiap manusia di permukaan bumi ini. Sebelum meletakkan mata pena dan menulis
noktah terakhir, seruan saya ialah kita mestilah sedar bahawa tabiat pemakanan
kita bukan sahaja mendatangkan kesan terhadap kesihatan fizikal kita, malah
akan meninggalkan implikasi terhadap kesihatan kita secara holistik. Pepatah
ada mengatakan, Diri Anda ialah Apa yang Anda Makan dan kenyataan ini benar
dalam soal kesihatan. Memang tidak payah untuk mengamalkan diet yang sihat dan
seimbang. Kita perlulah membina jadual pemakanan yang terancang berdasarkan
Piramid Makanan serta mematuhi arahan doktor. Andai kata semua warganegara
Malaysia berganding bahu dan bersama-sama mempraktikkan diet dan pemakanan yang
seimbang, bukan sahaja individu malah masyarakat dan negara yang akan menerima
kesan positif daripada usaha kolaboratif ini. Akhir kata, marilah kita semua
mengamalkan pemakanan seimbang supaya negara dan juga dunia kita ini akan lebih
sihat dan cergas, sekali gus melahirkan masyarakat yang cemerlang dan berakal
tajam, kerana badan sihat, otak cerdas.
karangan ini sangat bantu untuk saya terima kasih
ReplyDeleteye lah memang ahh
Delete