Labels

© 2013 HAK CIPTA TERPELIHARA SUBBASH EKAMBARAM. Powered by Blogger.
Showing posts with label KARANGAN BAHAGIAN A KERTAS 1 SPM. Show all posts
Showing posts with label KARANGAN BAHAGIAN A KERTAS 1 SPM. Show all posts

Monday, 21 January 2013

FAEDAH-FAEDAH MELAWAT KE LUAR NEGARA


Melawat ke luar negara  merupakan salah satu aktiviti yang boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja. Lawatan ini biasanya dilakukan pada musim cuti sekolah, cuti sekolah,cuti bekerja atau hujung minggu. Jika seseorang itu ingin melawat ke luar negara, ia memerlukan kos perjalanan yang agak banyak.Sebagai contoh,untuk ke negara China, India, Australia, Indonesia, England dan lain-lain. Sebenarnya, ada banyak faedah melawat ke luar negara.
                  
Faedah yang pertama ialah kita akan dapat menambahkan ilmu pengetahuan. Apabila kita ke luar negara,kita akan pergi ke tempat yang belum pernah kita kunjungi. Contohnya,jika kita ke Indonesia,kita boleh berkunjung ke tempat-tempat bersejarah seperti Tugu Pancasila. Jika kita seorang pelajar,kita perlu membuat catatan dan membuat bertanya kepada pegawai yang bertugas di tempat tersebut, Pengetahuan tersebut boleh dijadikan bahan maklumat kepada kita.
                  
Di samping itu,dengan melawat ke luar negara,kita boleh menambahkan pengalaman. Contohnya,pengalaman menaiki kapal terbang adalah sangat menarik hati. Kita dapat merasai pengalaman ketika berada di kawasan pemeriksaan kastam atau imigresen di lapangan terbang. Semasa di dalam kapal terbang, biasanya penumpang tidak boleh membawa beg yang beratnya melebihi 25 kilogram dan juga tidak boleh membawa barang-barang yang dilarang seperti cecair,makanan,senjata tajam dan lain-lain. Pengalaman ini akan menjadi panduan sehingga kita dewasa.
                   
Selain itu,lawatan ke luar negara dapat memberikan semangat kepada diri seseorang untuk menjadi lebih baik. Jika kita seorang pelajar,kita akan lebih bersemangat untuk belajar bersungguh-sungguh. Bagi sesetengah orang, lawatan ke luar negara sangat dinanti-nantikan kerana tempat tersebut ialah suasana yang sebenar dialami dan sekali gus dapat memberi motivasi diri terutama apabila kita melihat masyarakat di negara luar yang lebih maju dan hidup dalam keadaan harmoni seperti di negara matahari terbit iaitu Jepun.
                   
Bagi seorang yang sudah bekerja,melawat ke luar negara akan menghilangkan rasa bosan kerana penat bekerja. Contohnya, jika seseorang itu dapat melawat negara beriklim sejuk seperti England,mereka boleh bermain salji semasa musim sejuk lantas menjadikan mereka lebih teruja dan seronok kerana dapat berehat sambil melepaskan tekanan kerja dan memperoleh pengalaman baru di sana. Kita juga boleh berjumpa dengan orang yang berlainan bangsa seperti bangsa Afrika,Inggeris,Perancis dan lain-lain. Dengan ini,kita juga boleh menambahkan kenalan dari seluruh dunia, bak kata peribahasa,berkawan biar seribu,berkasih biar satu.
                  
Dengan melawat ke luar negara,kita dapat mengenali budaya orang lain termasuklah budaya orang Jepun,Indonesia,Arab dan lain-lain. Percakapan juga berbeza di samping cara hidup,makanan dan sebagainya. Contohnya, di Jepun, mereka akan membongkokkan badan dan menganggukkan kepala mereka menggantikan budaya bersalaman jika di negara kita.
                  
Seterusnya,melawat ke luar negara dapat meningkatkan nilai-nilai murni dalam diri seseorang. Amalan nilai murni sememangnya penting bagi diri seseorang supaya lebih dihormati oleh orang lain. Antara nilai murni tersebut ialah mematuhi peraturan,menepati masa,bekerjasama dan lain-lain. Masyarakat Indonesia rajin bekerja,menggunakan bahasa Indonesia dalam apa-apa jua urusan tidak kira lapisan masyarakat,menjalankan kerja secara berpasukan dan sebagainya,bak kata peribahasa,bulat air kerana pembetung,bulat kata kerana muafakat.
                   
Akhir kata,melawat ke luar negara banyak memberi faedah kepada setiap orang. Namun begitu untuk membuat lawatan ke luar negara,kita perlu membuat persiapan rapi seperti menyediakan dokumen penting,barangan keperluan yang secukupnya supaya perjalanan kita untuk pergi dan balik tidak mendatangkan masalah serta memberikan 1001 pengalaman manis sepanjang lawatan itu seperti kata peribahasa,sediakan payung sebelum hujan.

USAHA-USAHA MEMUPUK SEMANGAT KERJASAMA DALAM KALANGAN MASYARAKAT


Nusa tercinta kita Malaysia merupakan negara yang mempunyai anak watan berbilang kaum dan hidup secara bersama sehati sejiwa ibarat  peribahasa seikat bak sirih, serumpun bak serai.  Sehubungan dengan itu, kebanyakan anggota masyarakat hidup berjiran di kawasan bandar ataupun di kawasan luar bandar dan mereka saling berhubung, bertemu dan berurusan antara satu sama lain. Namun terdapat lakaran suram yang menyelubungi kita bahawa ada pandangan yang menyatakan semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat Malaysia pada masa ini dikatakan semakin terhakis ibarat hidup segan mati tak mahu. Banyak kempen dan  usaha telah dijalankan oleh pelbagai pihak untuk merapatkan kembali hubungan masyarakat melalui pelbagai aktiviti kerana semangat bekerjasama begitu penting dalam kehidupan bermasyarakat.
            
Sebenarnya semangat kerjasama dalam masyarakat dapat dipupuk melalui peranan ibu bapa. Kerjasama ini boleh dipupuk melalui penglibatan ibu bapa bersama-sama ahli keluarga yang terdiri daripada anak-anak dalam pelbagai aktiviti yang diadakan di kawasan tempat  tinggal mereka. Ibu bapa sewajarnya membawa anak-anak mereka menyertai aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, majlis sambutan perayaan  atau perjumpaan bulanan komuniti. Manfaatnya setiap keluarga akan dapat dipertemukan dengan semua jiran, saling berkenalan dan merapatkan hubungan . Mereka akan lebih mesra, saling membantu bagai aur dengan tebing tanpa membezakan warna kulit, bangsa atau kepercayaan. Hal ini menunjukkan bahawa semangat  bekerjasama dalam kalangan anggota masyarakat dapat membentuk ukhuwah yang kukuh dan ampuh.
          
Selain itu semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat dapat dibentuk melalui kempen-kempen kesedaran oleh pihak kerajaan. Pihak kerajaan seharusnya mengadakan kempen memupuk semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat dari semasa ke semasa agar terus subur dalam sanubari mereka. Tuntasnya, semangat bekerjasama dalam kalangan masyarakat membolehkan semua anggota masyarakat memahami antara satu sama lain. Masyarakat yang berbilang kaum ini boleh mempelajari  perbezaan budaya dan sistem sosial masyarakat lain seterusnya memahami sensitiviti mereka agar dapat bertoleransi, bekerjasama dan saling menghormati. Tegasnya semangat bekerjasama  penting dalam membentuk masyarakat yang bersatu padu dan seterusnya dapat memacu pembangunan negara ke arah kegemilangan.

Di samping itu, semangat kerjasama juga dapat dibentuk dalam kalangan masyarakat melalui peranan jawatankuasa penduduk setempat. Dalam hal ini, pihak jawatankuasa penduduk setempat boleh merancang pelbagai aktiviti kemasyarakatan dengan lancar tanpa sebarang kekangan. Jika masyarakat dapat hidup bersama-sama dalam suasana yang aman dan harmoni ibarat peribahasa ke bukit sama di daki, ke lurah sama dituruni maka segala aktiviti yang dijalankan akan dapat dinikmati  dengan penuh bermakna. Sebagai contohnya, pihak jawatankuasa penduduk setempat boleh mengadakan aktiviti seperti gotong-royong membersihkan atau menceriakan kawasan setempat,  seperti dewan orang ramai, balai raya, taman permainan kanak-kanak mahupun pusat komuniti. Jelaslah semangat kerjasama penting bagi merapatkan hubungan anggota masyarakat dalam suatu kawasan penduduk setempat .
            
Semangat kerjasama merupakan salah satu elemen penting dan vital yang membantu melahirkan anggota masyarakat yang harmoni, mempunyai jati diri dan  semangat cinta akan negara . Dengan itu, peranan sekolah amat penting dalam memupuk semangat kerjasama kepada murid-murid di sekolah. Melalui pengajaran dan pembelajaran para guru boleh membimbing murid-murid tentang kepentingan semangat bekerjasama. Pelbagai aktiviti berbentuk kerjasama dalam kalangan murid-murid seperti gotong-royong membersihkan kawasan sekolah, mengemas dan menceriakan bilik darjah, menghias sekolah dengan jalur gemilang sempena sambutan Bulan Kemerdekaan dan sebagainya dapat diimplimentasikan.   Hal ini jelas menunjukkan keharmonian kehidupan rakyat Malaysia melalui semangat bekerjasama yang diterapkan di peringkat sekolah ibarat melentur buluh biarlah dari rebungnya membolehkan keharmonian masyarakat terbentuk.
                       
Intihanya, semangat kerjasama merupakan sebahagian daripada amalan dan menjadi budaya masyarakat di Malaysia yang menjadikan negara kita unik pada pandangan masyarakat di luar sana malah dikenali di seluruh dunia. Tuntasnya, semangat bekerjasama bukan sahaja penting dalam mengekalkan suasana harmoni dalam kalangan rakyat di negara kita malah sumbangannya cukup besar terutamanya bagi memastikan Malaysia terus cemerlang dan mampu berdaya saing pada masa akan datang kerana  rakyatnya yang bersahsiah terpuji bagi melahirkan modal insan berminda kelas pertama yang dapat memacu negara tercinta ke arah kegemilangan di puncak jagat.

KEPENTINGAN AKTIVITI REKREASI KEPADA MASYARAKAT


Pada era globalisasi ini, masyarakat seakan terlalu sibuk mengejar kemewahan duniawi lantas sering mengabaikan amalan gaya hidup sihat terutamanya amalan beriadah atau rekreasi. Hal ini demikian kerana mereka terlalu memandang enteng  kepentingan aktiviti rekreasi. Tanpa mereka sedari, sebenarnya terdapat varia kepentingan rekreasi kepada masyarakat.
            
Antara maslahat rekreasi kepada masyarakat adalah mampu mengeratkan hubungan sama ada hubungan dengan komuniti setempat mahupun dengan ahli keluarga sendiri. Hal ini demikian kerana melalui aktiviti rekreasi, individu akan bertegur sapa dengan individu lain di sekelilingnya, lantas mengeratkan hubungan silaturahim. Contohnya, melalui amalan rekreasi, kita dapat berbual mesra dengan jiran tetangga. Jelaslah bahawa, rekreasi mampu mengeratkan hubungan antara individu dengan individu lain.
            
Selain itu, aktiviti rekreasi juga mampu memberi ketenangan jiwa kepada anggota masyarakat. Hal ini demikian kerana melalui aktiviti riadah, masyarakat dapat menghayati keindahan alam sekitar yang saujana mata memandang. Contohnya, melalui aktiviti senaman seperti berjoging, masyarakat akan dapat menghirup dan menikmati angin sepoi-sepoi bahasa yang segar, seterusnya mampu memberi kedamaian jiwa. Oleh hal yang demikian, aktiviti rekreasi dilihat mampu menjadi landasan utama masyarakat bagi melapangkan fikiran.
            
Di samping itu, amalan rekreasi amat signifikan bagi menyihatkan badan. Amalan yang menyihatkan seperti berjoging, berkhemah mahupun sukan ekstrem seperti aktiviti terjunan udara mampu meningkatkan kadar kecergasan dan mengelakkan pelbagai penyakit koronari. Contohnya, melalui aktiviti terutamanya sukan ekstrem yang menjadi kegilaan pemuda pemudi, anggota masyarakat dapat meningkatkan kadar metabolisme yang baik untuk tubuh. Sudah terang lagi bersuluh, amalan rekreasi mampu menyihatkan badan bagi menjayakan visi Malaysia Cergas.
            
Akhir sekali, aktiviti rekreasi mampu menggalakkan pertukaran idea atau buah fikiran dalam kalangan masyarakat. Hal ini demikian kerana, pertukaran idea yang bernas mampu mematangkan tahap pemikiran masyarakat. Misalnya, melalui diskusi ringkas dalam kalangan masyarakat, semangat individualisme dapat dihapuskan dan semangat perpaduan yang ampuh dapat dilakar. Oleh hal yang demikian, jelaslah bahawa rekreasi mampu merangsang pertukaran idea dan mencegah sikap seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing.
            
Kesimpulannya, aktiviti rekreasi dan riadah mempunyai banyak kepentingan tertentu yang dapat dimanfaatkan oleh setiap anggota masyarakat. Oleh hal yang demikian, kita perlulah mengutamakan dan mengamalkan aktiviti riadah dalam kehidupan seharian kerana sesungguhnya, minda yang cerdas terletak pada badan yang cergas.

KEBAIKAN MENGUASAI PELBAGAI BAHASA


Bahasa merupakan alat yang digunakan oleh masyarakat untuk berhubung sejak zaman dahulu lagi. Dalam mendepani era globalisasi ini,kemampuan menguasai dan berkomunikasi dalam pelbagai bahasa merupakan suatu kelebihan kepada seseorang. Lantaran itu, Sekolah Berasrama Penuh (SBP) misalnya, memberikan peluang kepada  para pelajar untuk mempelajari lima bahasa antarabangsa iaitu, bahasa Peranchis, Jerman, Jepun, Cina dan Arab melalui pembelajaran bahasa antarabangsa. Tanpa kemampuan dan kemahiran bertutur dalam pelbagai bahasa, agak sukar seseorang untuk berkomunikasi khususnya dengan individu yang berlainan bangsa. Oleh itu, banyak kepentingan akan diperoleh oleh seseorang dengan menguasai pelbagai bahasa lain selain bahasa ibunda.
            
Kebaikan pertama menguasai pelbagai bahasa ialah seseorang lebih mudah untuk berhubung atau berkomunikasi dengan orang lain. Hal ini demikian kerana seseorang akan lebih berkeyakinan untuk bersemuka dengan sesiapa sahaja. Sebagai contoh, dengan menguasai bahasa Inggeris, seseorang boleh memberitahu tempat-tempat menarik serta keistimewaan yang terdapat di negara kita kepada pelancong yang datang ke negara kita.  Faedah daripada itu, para pelancong berasa lebih dihargai malah  akan lebih tertarik untuk berkunjung ke negara kita. Seseorang juga akan lebih memahami psikologi serta penutur jati individu tertentu. Sebaliknya, tanpa menguasai pelbagai bahasa seseorang sukar untuk menolong walaupun masih mempunyai niat untuk membantu. Impak daripada itu, para pelancong akan berfikiran negatif dan berkemungkinan menganggap kita tidak peramah dan bersikap sombong. Jelas bahawa, dengan menguasai pelbagai kita mudah berkomunikasi dengan lebih berkesan untuk bertukar fikiran serta maklumat antara satu sama lain.
            
Selain itu, dengan menguasai pelbagai bahasa seseorang lebih mudah untuk memperoleh ilmu pengetahuan. Hal ini demikian kerana pelbagai ilmu pengetahuan yang terdapat di dunia ini ditulis dalam pelbagai bahasa, khususnya bahasa Inggeris yang menjadi bahasa utama dunia. Dengan memperoleh pelbagai ilmu pengetahuan seseorang akan lebih dihormati, dipandang tinggi serta tidak dianggap bagai katak di bawah tempurung. Sebagai contoh, untuk meningkatkan pengetahuan dalam bidang agama Islam seseorang wajib menguasai bahasa Arab yang merupakan bahasa kitab suci Al-Quran. Sementara itu, bagi golongan pelajar mereka lebih mudah untuk membuat rujukan sama ada melalui buku-buku atau Internet. Kemahiran menguasai bahasa Inggeris misalnya, sering kali menjadi halangan kepada pelajar Bumiputera di pusat pengajian tinggi untuk menghasilkan kajian serta bahan ilmiah yang berkualiti. Tegasnya, memiliki kemahiran bahasa Inggeris yang baik sama ada mendengar, bercakap, membaca atau menulis adalah amat perlu sejajar dengan usaha kerajaan Malaysia membangunkan modal insan di negara ini.

Seterusnya, seseorang lebih mudah untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, baik di pusat pengajian tinggi awam atau swasta. Tambahan lagi kemampuan menguasai dan berkomunikasi dalam pelbagai bahasa menjadi semakin penting sekiranya seseorang hendak melanjutkan pelajaran ke luar negara. Hal ini demikian kerana hampir semua pusat pengajian tinggi menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran kerana kekuatannya sebagai bahasa komunikasi masyarakat dunia. Hal ini dikukuhkan lagi apabila seseorang ingin melanjutkan pelajaran di negara-negara maju seperti Jepun dan Peranchis yang menggunakan bahasa ibunda mereka sendiri sebagai bahasa pengantar utama. Tamsilnya, untuk melanjutkan pelajaran di negeri matahari terbit, Jepun pelajar perlulah mengikuti kurusus untuk menguasai bahasa Jepun terlebih dahulu sebagai pakej untuk terpilih untuk mengikuti pengajian di sana. Jelas terbukti bahawa penguasaan pelbagai bahasa memberikan kemudahan kepada setiap orang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi di samping mudah untuk memahami budaya dan gaya hidup sesuatu masyarakat yang ditemui.
            
Akhir sekali, tidak dapat dinafikan bahawa dengan menguasai pelbagai bahasa seseorang lebih mudah untuk memperoleh peluang pekerjaan. Hal ini disebabkan seseorang pekerja yang berkemahiran bertutur dalam pelbagai bahasa dianggap mempunyai banyak kelebihan serta keistimewaan kerana mampu bertutur dengan pelbagai pihak. Sebagai contoh, di Malaysia seseorang yang boleh bertutur dalam bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan Mandarin memiliki ciri-ciri pekerja yang digemari dan disukai majikan kerana masyarakat majmuk yang terdapat di negara kita. Di samping itu, dengan menguasai pelbagai bahasa membolehkan seseorang itu, menceburkan diri dalam bidang penterjemahan atau jurubahasa dalam bidang kehakiman dan juga sektor pelancongan. Bidang terjemahan dikatakan mempunyai masa depan yang cerah kerana mempunyai permintaan yang tinggi.  Begitu juga dalam bidang pelancongan yang amat memerlukan khidmat pemandu pelancong asing yang boleh menguasai bahasa asing. Sesungguhnya, penguasaan pelbagai bahasa dan kemahiran berkomunikasi menjadi suatu kriteria dan pertimbangan utama majikan dalam memilih ciri pekerja yang berkualiti.

Intihanya, langkah Kementerian Pelajaran Malaysia memperkenalkan subjek bahasa tambahan di peringkat sekolah perlulah dipuji bagi memperkasakan lagi modal insan yang bakal dilahirkan. Oleh itu, semua pihak khususnya ibu bapa bukan sahaja perlu menerimanya secara positif malahan memberikan sokongan tanpa wujud perasaan berbelah bahagi. Semua individu khususnya golongan pelajar perlulah merebut peluang yang disediakan oleh pihak kerajaan kerana kemahiran bertutur dalam pelbagai bahasa akan memberikan nilai tambah sekali gus menyediakan masyarakat yang mampu duduk sama rendah berdiri sama tinggi untuk bersaing di peringkat global. Justeru, tepuk dada tanya selera, adakah kita ingin menjadi individu yang hanya memahami bahasa ibunda atau mampu menguasai pelbagai bahasa yang pastinya memberikan kelebihan kepada kita kelak.

FAEDAH-FAEDAH MENGGUNAKAN PERPUSTAKAAN

Pada era ledakan teknologi yang semakin maju seiring dengan kemajuan ekonomi negara, pelbagai kemudahan telah disediakan oleh pihak kerajaan. Satu daripada kemudahan tersebut ialah perpustakaan yang merupakan sebuah institusi yang telah wujud sejak zaman kegemilangan tamadun Islam pada suatu ketika dahulu. Pada zaman kegemilangan kerajaan Abbasiyah misalnya, Khalifah Umar Bin Abdul Aziz telah membina sebuah perpustakaan yang dikenali sebagai Baitul Hikmah yang berfungsi sebagai pusat penyimpanan khazanah ilmu, pusat penterjemahan serta perjumpaan para cendekiawan dan ulama. Pada masa ini, semua perpustakaan yang dibina di seluruh pelosok negara memainkan peranan yang sama iaitu sebagai gedung dan pusaka ilmu bagi kemudahan semua pihak. Tambahan pula, perpustakaan pada zaman ini menyediakan kemudahan jalur lebar atau kemudahan Internet yang boleh menambahkan lagi kesenangan pengguna untuk mencari maklumat yang diperlukan. Ternyata perpustakaan yang disediakan oleh pihak kerajaan mendatangkan pelbagai kemaslahatan kepada masyarakat, cuma terpulang kepada masyarakat sama ada mahu atau tidak menggunakannya kerana yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak akan datang melayang.

Antara faedah menggunakan perpustakaan ialah pelajar serta orang awam dapat menimba pelbagai ilmu pengetahuan yang tersimpan di dalamnya. Hal ini demikian kerana perpustakaan menempatkan jutaan ilmu pengetahuan yang dinukilkan oleh penulis dari seluruh pelosok dunia dengan menggunakan pelbagai bahasa. Malahan  di sesetengah perpustakan elit, tersimpan ilmu pengetahuan yang dihasilkan oleh tokoh atau bijak pandai jutaan tahun dahulu. Dalam hal ini semua pihak hendaklah rajin mengunjungi perpustakaan sama ada untuk mendapatkan maklumat atau membaca pelbagai buku bersesuaian dengan cogan kata Membaca Jambatan Ilmu. Suasana perpustakaan yang kondusif dan hening mampu memberikan ketenangan kepada pengunjungnya untuk menelaah dan membongkarkan pelbagai rahsia tersembunyi daripada bahan yang dibaca. Di perpustakaan, kita boleh memperoleh pelbagai ilmu pengetahuan seperti keagamaan, falsafah, kemanusiaan serta ilmu pengetahuan berkaitan sains dan teknologi. Pada hari ini ilmu pengetahuan sangat berguna dalam hidup kita umpama tulang belakang yang berfungsi menampung tubuh badan kita untuk mneruskan kehidupan. Tuntasnya, setiap individu seharusnya mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi dan perpustakaanlah tempat yang wajar dikunjungi atas sebab kekayaan ilmu pengetahuan di situ.

Selain itu, perpustakaan juga boleh dijadikan tempat untuk mengisi masa lapang secara berfaedah khususnya kepada golongan muda dan para pelajar. Hal ini demikian kerana pada masa ini perpustakaan bukan sahaja menyediakan bahan bacaan seperti buku dan majalah tetapi juga telah dilengkapi dengan pendingin hawa, komputer dan Internet. Kemudahan-kemudahan yang disediakan boleh menarik minat generasi muda mengunjungi perpustakaan sekali gus mengelakkan remaja terlibat dengan budaya lepak serta  melakukan pelbagai aktiviti yang tidak berfaedah. Suasana kondusif yang diwujudkan di dalam perpustakaan akan mendorong masyarakat untuk meluangkan  banyak masa senggang secara lebih proaktif kerana sesungguhnya masa itu emas. Sebagai contoh,Perpustakaan Sultan Ismail di Johor Bahru telah menyediakan sebuah ruang untuk kegunaan proses pembelajaran secara interaktif. Di perpustakaan tersebut, Petrosains dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah membuka cawangan mini bagi mendorong lebih ramai generasi muda melawat dan menghabiskan masa di situ. Sesungguhnya, dengan mengunjungi perpustakaan kita dapat menguruskan masa secara bijak kerana masa itu ibarat  pedang yang tajam, sekiranya kita terlewat mata pedang itu sendiri akan memenggal kepala kita.

Seterusnya, penggunaan perpustakaan secara berterusan juga mampu menyemai serta memupuk budaya membaca dalam kalangan masyarakat khususnya generasi muda. Dalam hal ini ibu bapa memainkan peranan yang dominan dengan sering membawa anak-anak berkunjung ke perpustakaan agar mereka terbiasa dengan buku-buku bersesuaian dengan kata peribahasa  melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ibu bapa perlulah berindak sebagai suri teladan kepada anak-anak dengan berkunjung ke perpustakaan sama ada untuk membaca, meminjam buku atau menggunakan kemudahan Internet yang disediakan. Dengan berkunjung ke perpustakaan orang ramai boleh memilih bacaan yang mereka gemari mengikut usia masing-masing seperti akhbar, majalah, jurnal, komik serta pelbagai bahan ilmiah yang telah diterbitkan. Budaya suka membaca penting diterapkan dalam kalangan generasi muda yang bakal mewarisi tampuk kepimpinan negara agar mereka dilengkapi dengan pelbagai ilmu pengetahuan. Situasi ini penting agar mereka mampu bersaing di peringkat global sekali gus membolehkan Malaysia duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain. Dalam konteks ini, kita perlulah menjadikan negara matahari terbit, Jepun sebagai contoh kerana kejayaan membangunkan negara mereka hasil daripada budaya membaca yang tinggi masyarakatnya. Jelas bahawa perpustakaan mampu menerbitkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat sekali gus melahirkan masyarakat yang berjaya kerana Masyarakat Membaca Masyarakat Berjaya.

Intihanya, tiada suatu objek atau makhluk yang diciptakan oleh Allah S.W.T di muka bumi ini tanpa ada hikmah atau kemaslahatan di sebaliknya. Lantaran itu, bilangan perpustakaan yang merupakan gedung ilmu perlulah ditambah dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan teknologi demi menggamit dan mendorong masyarakat berkunjung ke perpustakaan. Masyarakat khususnya golongan pelajar seharusnya menjangkau sehabis tangan untuk merebut peluang dan menggunakan sebaik mungkin kemudahan yang disediakan oleh pihak pengurusan perpustakaan untuk membongkar segala khazanah ilmu yang tersimpan di situ. Jelas bahawa perpustakaan mempunyai banyak kebaikannya, namun begitu terpulanglah kepada orang ramai kerana segala-galanya berada dalam tangan masing-masing bersesuaian dengan kata peribahasa yang bulat tidak akan datang bergolek, yang pipih tidak akan datang melayang.




FAEDAH-FAEDAH BELAJAR MENGGUNAKAN KOMPUTER

Dewasa ini, komputer merupakan  alat penting  yang  digunakan di kebanyakan sekolah di negara kita. Sebagai contoh, komputer seringkali digunakan oleh guru-guru semasa menyampaikan pengajaran kepada para pelajar. Kini boleh dikatakan ramai dalam kalangan murid sekolah telah mahir dalam menggunakan computer seperti kata kata peribahasa alah bisa tegal biasa. Oleh itu, terdapat banyak faedah belajar menggunakan komputer.

Antara faedah belajar menggunakan komputer ialah pelajar-pelajar  dapat berkongsi  maklumat   bersama-sama rakan. Hal ini demikian kerana rakan-rakan yang berkebolehan dalam mengendalikan komputer akan saling menunjuk cara dan menyampaikan maklumat antara satu sama lain. Sebagai contoh, memuat turun bahan pembelajaran daripada Internet dan lain-lain. Oleh itu belajar menggunakan komputer akan membentuk perkongsian maklumat dalam kalangan pelajar.

Di samping itu, belajar dengan menggunakan komputer akan menjadikan aktiviti  pembelajaran lebih menarik dan berkesan. Hal ini demikian kerana setiap pelajar akan berasa seronok dan ingin melibatkan diri dalam aktiviti pembelajaran secara aktif. Sebagai contoh, program Skor A atau program interaktif yang memerlukan pelajar menyelesaikan tugasan secara langsung  atas  talian. Sudah terang lagi bersuluh, belajar menggunakan komputer menjadikan suasana pembelajaran akan lebih ceria.

Seterusnya, faedah belajar menggunakan komputer ialah  dapat menjimatkan masa sesi pembelajaran.  Pada kebiasaannya  bahan-bahan pembelajaran  akan disediakan  terlebih dahulu oleh guru atau pelajar.  Selain itu, tugasan  atau latihan  pelajar juga dapat dijawab atas talian tanpa memerlukan bahan edaran bersesuaian dengan kata peribahasa, masa itu emas.  Oleh itu, faedah belajar menggunakan komputer dapat menjimatkan masa dalam pembelajaran dan pengajaran di dalam kelas.

Selain itu, belajar menggunakan komputer  boleh meningkatkan prestasi akademik seseorang  pelajar  di sekolah.  Hal ini demikian kerana terdapat banyak informasi dan maklumat terkini boleh dijadikan sumber ilmu.  Sebagai contohnya, pelajar-pelajar boleh mengakses internet untuk menambahkan ilmu pengetahuan dalam subjek tertentu.  Jika ini dilakukan, sudah tentu pelajar-pelajar boleh meningkatkan kejayaan dalam peperiksaan seperti kata cogan kata , Usaha Tangga Kejayaan.  Oleh itu, belajar menggunakan komputer akan memudahkan pelajar berjaya dalam pelajaran.

Kesimpulannya, semua pihak perlu bekerjasama dan berganding bahu dengan menjadikan komputer sebagai alat teknologi yang berkesan dalam pembelajaran.  Di samping menjadikan generasi yang celik komputer, kaedah ini juga mendatangkan banyak faedah.  Hal ini bertepatan dengan dasar  kerajaan dan saranan Perdana Menteri ke arah konsep 1 Malaysia iaitu ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’.

CIRI-CIRI REMAJA BERWAWASAN


Remaja pada masa ini merupakan angkatan muda yang akan menjadi tonggak pemerintahan pada masa hadapan. Bijak pandai ada berkata, sekiranya kita hendak melihat kepimpinan masa hadapan, lihatlah remaja yang ada pada masa ini. Lantaran itu, dalam menempuh milenium yang sarat dengan cabaran reformasi ini,  ciri-ciri remaja yang kamil dan mempunyai nilai keinsanan yang syumul penting untuk membangunkan negara. Dalam hal ini, semua pihak berperanan bagi melahirkan remaja yang mempunyai  ciri-ciri remaja yang berwawasan.

Berakhlak mulia merupakan salah satu ciri remaja berwawasan. Hal ini demikian kerana akhlak yang luhur, datang dari hati yang bersih. Remaja yang berakhlak mulia akan suka didampingi malah akan meraih rasa hormat daripada orang sekeliling. Remaja yang berakhlak mulia pasti tidak akan terjebak dengan kemelut sosial yang mementingkan dunia hedonistik semata-mata serta berusaha untuk menghindarkan diri daripada bergaul dengan remaja-remaja yang bermasalah. Taat pada agama sudah pasti dapat melahirkan individu yang berakhlak mulia kerana semua agama di dunia menyeru kepada kebaikan dan melarang kepada kemungkaran. Secara tidak langsung, remaja yang mempunyai sikap mahmudah dapat dilahirkan seterusnya dapat menjadi seorang insane yang kamil. Remaja yang berakhlak mulia juga sudah pasti dapat membezakan antara yang baik dan yang buruk, yang mana kaca, yang mana permata, bak kata peribahasa yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan. Jelaslah bahawa berakhlak mulia merupakan salah satu ciri remaja berwawasan.
            
Selain itu, remaja berwawasan sudah pasti mempunyai ilmu pengetahuan yang luas dan tinggi. Remaja yang berwawasan pasti akan berusaha untuk mencari ilmu dan sentiasa dahagakan ilmu. Pepatah ada juga mengatakan ‘carilah ilmu sehingga ke negeri China’ kerana ilmu yang ada hanya setitik daripada selautan. Malahan, Albert Einstein juga pernah berkata ‘semakin banyak yang dipelajari, semakin banyak yang tidak diketahui’. Dengan melahirkan remaja yang berilmu pengetahuan, anak muda ini tidak akan mudah ditipu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab serta akan sentiasa dihormati dan disanjung oleh masyarakat sekeliling. Jelaslah bahawa, remaja yang berilmu pengetahuan juga merupakan ciri yang vital dalam melahirkan remaja yang berwawasan.
            
Di samping itu, remaja yang berwawasan juga akan sentiasa gigih untuk menggapai gamitan menara impian. Sudah tentulah budaya pesimistik dan culas dikikis serta dibuang jauh untuk mencapai kejayaan walau seruwet manapun yang diamalkan oleh remaja berwawasan ini. Secara langsung, remaja berwawasan akan gigih berusaha menggunakan setiap detik dan waktu agar diisi dengan perkara yang bermanfaat  dan berfaedah kerana masa itu emas. Selain itu, masa yang pergi tidak mungkin akan kembali. Oleh itu, remaja yang berwawasan akan memastikan setiap masa yang terluang diisi dengan perkara yang mendatangkan maslahat seperti menelaah buku, beriadah atau melakukan ibadah kerana cendekiawan ada mengatakan masa ibarat pedang,sekiranya kita leka mata pedang itu akan  memenggal kita. Jelaslah bahawa, gigih berusaha merupakan ciri yang signifikan dalam melahirkan remaja yang berwawasan.
            
Sementelahan itu, bersemangat patriotik juga merupakan ciri remaja berwawasan. Remaja yang berwawasan akan berusaha menjaga nama baik negara serta memerah keringat untuk menaikkan nama negara. Remaja yang berwawasan juga akan mengekalkan perpaduan negara yang sudah sedia terjalin ukhuwah sesama manusia mahupun berlainan bangsa dan agama demi menyahut seruan ‘Satu Malaysia’ yang diuar-uarkan oleh Dato’ Seri Najib bin Tun Abdul Razak. Terbuktilah bahawa, remaja yang berwawasan akan mempunyai semangat patriotik yang tinggi.
            
Tuntasnya, semua pihak haruslah bergabung tenaga melahirkan remaja yang berwawasan agar Malaysia akan terus maju dan terkenal di seluruh pojok dunia pada masa hadapan.