Remaja
pada masa ini merupakan angkatan
muda yang akan menjadi tonggak pemerintahan pada masa hadapan. Bijak pandai ada
berkata, sekiranya kita hendak melihat kepimpinan masa hadapan, lihatlah remaja
yang ada pada masa ini. Lantaran itu, dalam menempuh milenium yang sarat dengan
cabaran reformasi ini, ciri-ciri remaja
yang kamil dan mempunyai nilai keinsanan yang syumul penting untuk membangunkan
negara. Dalam hal ini, semua pihak berperanan bagi melahirkan remaja yang
mempunyai ciri-ciri remaja yang
berwawasan.
Berakhlak
mulia merupakan salah satu ciri remaja berwawasan. Hal ini demikian kerana
akhlak yang luhur, datang dari hati yang bersih. Remaja yang berakhlak mulia
akan suka didampingi malah akan meraih rasa hormat daripada orang sekeliling.
Remaja yang berakhlak mulia pasti tidak akan terjebak dengan kemelut sosial
yang mementingkan dunia hedonistik semata-mata serta berusaha untuk
menghindarkan diri daripada bergaul dengan remaja-remaja yang bermasalah. Taat
pada agama sudah pasti dapat melahirkan individu yang berakhlak mulia kerana
semua agama di dunia menyeru kepada kebaikan dan melarang kepada kemungkaran.
Secara tidak langsung, remaja yang mempunyai sikap mahmudah dapat dilahirkan
seterusnya dapat menjadi seorang insane yang kamil. Remaja yang berakhlak mulia
juga sudah pasti dapat membezakan antara yang baik dan yang buruk, yang mana
kaca, yang mana permata, bak kata peribahasa yang baik dijadikan teladan,
yang buruk dijadikan sempadan. Jelaslah bahawa berakhlak mulia
merupakan salah satu ciri remaja berwawasan.
Selain itu, remaja berwawasan sudah
pasti mempunyai ilmu pengetahuan yang
luas dan tinggi. Remaja yang
berwawasan pasti akan berusaha untuk mencari ilmu dan sentiasa dahagakan ilmu.
Pepatah ada juga mengatakan ‘carilah ilmu sehingga ke negeri China’ kerana ilmu
yang ada hanya setitik daripada selautan. Malahan, Albert Einstein juga pernah
berkata ‘semakin banyak yang dipelajari, semakin banyak yang tidak diketahui’.
Dengan melahirkan remaja yang berilmu pengetahuan, anak muda ini tidak akan
mudah ditipu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab serta akan sentiasa
dihormati dan disanjung oleh masyarakat sekeliling. Jelaslah bahawa, remaja
yang berilmu pengetahuan juga merupakan ciri yang vital dalam melahirkan remaja
yang berwawasan.
Di samping itu, remaja yang
berwawasan juga akan sentiasa gigih
untuk menggapai gamitan menara impian. Sudah tentulah budaya pesimistik dan
culas dikikis serta dibuang jauh untuk mencapai kejayaan walau seruwet manapun
yang diamalkan oleh remaja berwawasan ini. Secara langsung, remaja berwawasan
akan gigih berusaha menggunakan setiap detik dan waktu agar diisi dengan
perkara yang bermanfaat dan berfaedah kerana
masa itu emas. Selain itu, masa yang pergi tidak mungkin akan kembali. Oleh
itu, remaja yang berwawasan akan memastikan setiap masa yang terluang diisi
dengan perkara yang mendatangkan maslahat seperti menelaah buku, beriadah atau
melakukan ibadah kerana cendekiawan ada mengatakan masa ibarat pedang,sekiranya kita
leka
mata pedang itu akan memenggal kita.
Jelaslah bahawa, gigih berusaha merupakan ciri yang signifikan dalam melahirkan
remaja yang berwawasan.
Sementelahan itu, bersemangat patriotik juga merupakan
ciri remaja berwawasan. Remaja yang berwawasan akan berusaha menjaga nama baik
negara serta memerah keringat untuk menaikkan nama negara. Remaja yang
berwawasan juga akan mengekalkan perpaduan negara yang sudah sedia terjalin
ukhuwah sesama manusia mahupun berlainan bangsa dan agama demi menyahut seruan
‘Satu Malaysia’ yang diuar-uarkan oleh Dato’ Seri Najib bin Tun Abdul Razak.
Terbuktilah bahawa, remaja yang berwawasan akan mempunyai semangat patriotik
yang tinggi.
Tuntasnya, semua pihak haruslah
bergabung tenaga melahirkan remaja yang berwawasan agar Malaysia akan terus
maju dan terkenal di seluruh pojok dunia pada masa hadapan.
0 comments :
Post a Comment