Setelah menghela nafas kemerdekaan
selama 55 tahun, ibu pertiwi kita yang telah bebas daripada cengkaman penjajah
begitu pesat membangun bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.
Sehubungan dengan hal itu, peribahasa ada menyebut bahawa, ada bukit, ada paya, namun
kita tidak boleh mendabik dada kerana di sebalik kemajuan yang sedang dikecapi,
negara kita masih lagi terkongkong dalam gelombang inflasi yang semakin rumit.
Walaupun isu ini hangat diperkatakan dan sering meniti di bibir masyarakat, tetapi
pernahkah terlintas dalam benak fikiran kita, apakah yang dimaksudkan dengan
inflasi? Mengikut penjelasan yang terdapat
dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, inflasi didefinisikan sebagai keadaan kenaikan
harga barangan yang disebabkan oleh bertambahnya kuasa membeli. Oleh itu,
masalah ini tidak boleh dipandang remeh dan formula penyelesaian harus
diimplimentasikan untuk merungkai masalah ini bak kata peribahasa, tak
ada gunung yang tak dapat didaki, tak ada lurah yang tak dapat dituruni.
Setiap
penyakit ada penawarnya yang mustajab, setiap masalah ada jalan penyelesaian
yang berkesan, oleh itu, pihak kerajaan sewajarnya mengambil inisiatif
dengan menganjurkan kempen berhemat secara istiqamah dan konsisten ke
seluruh pelosok negara dan bukannya sekadar melepaskan batuk di tangga. Memetik kata-kata azimat Lootze, kehidupan membazir dan tamak haloba
mendorong manusia ke arah kebinasaan. Lantaran itu, kempen tersebut haruslah
menekankan kepentingan amalan berjimat cermat supaya nilai murni ini dapat
dijadikan amalan dalam kehidupan masyarakat Malaysia. Tindakan yang lebih
afdal, masyarakat sewajarnya diseru supaya berbelanja mengikut kemampuan
sendiri ibarat mengukur baju di badan
sendiri dan usahlah bersikap membesarkan
kerak nasi. Cara berbelanja dengan mengikut hawa nafsu akan membawa
padah yang buruk kerana peribahasa Melayu ada menyatakan, ikut nafsu lesu, ikut hati mati, ikut rasa binasa. Tambahan pula, pihak kerajaan juga harus
mengadakan pertandingan yang dapat menarik penyertaaan khalayak seperti
sayembara puisi, menulis esei, persembahan artis dan sebagainya dalam usaha
menyebarluaskan kempen tersebut. Jelaslah bahawa penganjuran kempen berhemat
secara berterusan dan holistik merupakan perisai yang ampuh untuk merungkai
masalah kenaikan harga barangan.
“Jika
satu pintu tertutup, pintu lain akan terbuka untuk menyelesaikan sebarang
kesulitan yang berlaku di negara kita termasuk isu kenaikan harga barang. Namun
begitu. kita tetap melihat dan kemudiannya menyesal kerana pintu penyelesaian
itu tertutup terlalu lama sehingga kita tidak dapat melihat pintu lain yang
telah terbuka. Begitulah gambaran implikasi daripada kata-kata mutiara
Alexander Graham Bell, seorang ahli sains dan matematik Barat yang menunjukkan
bahawa setiap masalah pasti ada cara yang berkesan untuk mengatasinya. Sebagai
kesinambungan idea, tindakan agensi bukan kerajaan atau NGO melindungi
hak-hak pengguna daripada kenaikan harga barangan tanpa kawalan di pasaran merupakan
langkah konkrit yang patut dilaksanakan sepanjang masa. Organisasi atau agensi
yang menyokong peranan kerajaan ini seperti Gabungan Persatuan Pengguna
Malaysia atau FOMCA dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang atau CAP, telah mendukung
obligasi untuk melindungi hak para pengguna. Pihak-pihak ini berperanan untuk
menerima sebarang aduan dan menyiasat segala permasalahan yang dihadapi
termasuklah masalah kenaikan harga barangan keperluan, penjualan barangan yang
telah luput tarikh, caj perkhidmatan yang melampau dan sebagainya. Seterusnya
FOMCA dan CAP haruslah mengambil tindakan yang sewajarnya untuk memastikan hak
golongan pengguna akan terpelihara dan tidak mudah dieksploitasi oleh
peniaga-peniaga yang licik dan tidak bertanggungjawab. Organisasi-organisasi
ini haruslah menjalinkan hubungan ukhuwah ibarat
seikat bak sirih, serumpun bak serai dan kita juga berpegang pada
falsafah Confusius, apakah gunanya sekiranya kita tidur sebantal tetapi mimpi
kita lain-lain, lebih baik kita tidur bantal yang berlainan, tetapi mimpi kita
tetap sama. Deduksinya, melindungi hak-hak pengguna daripada kenaikan harga
barangan tanpa kawalan di pasaran merupakan tindakan efektif oleh agensi bukan
kerajaan atau NGO.
Tokoh
psikologi Barat pernah mengungkapkan bahawa tiada masalah yang tidak boleh
diselesaikan, sebaliknya hidup tanpa dibebani masalah adalah kosong. Kata-kata
ini memang ada kebenarannya dan semua rakyat di negara ini perlu berpijak di
bumi nyata kerana setiap kemelut yang kita hadapi mesti ada uslub dan minhaj
yang komprehensif. Bertitik tolak daripada manifestasi ini, pihak berkuasa seharusnya
sentiasa membuat pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana
pihak yang menaikkan harga barangan sesuka hati tanpa memperoleh kelulusan
daripada pihak berwajib. Pegawai kerajaan berkaitan juga haruslah memainkan
peranan yang penting untuk mengadakan pemeriksaan secara mengejut ke
premis-premis perniagaan dari semasa ke semasa untuk memastikan para peniaga
mematuhi peraturan yang telah ditetapkan dan tidak bersikap seperti lintah darat. Sementelahan itu,
pihak kerajaan juga haruslah melunaskan tanggungjawab yang terletak di atas
pundak mereka untuk menggubal, mengkodifikasikan seterusnya menguatkuasakan
undang-undang secara serius dan telus supaya dapat memberi peringatan kepada golongan
peniaga. Mana-mana peniaga yang cuba menaikkan harga barangan atau memasang lukah di pergentingan
hendaklah didakwa di mahkamah agar kesalahan sebegini tidak berulang ibarat pisang berbuah dua kali. Oleh itu, usaha pihak berkuasa yang
sentiasa membuat pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang
tidak bertanggungjawab dapat mengekang masalah kenaikan harga barangan di
pasaran.
Lampu
Aladdin tidak akan bersinar sendiri, tetapi Aladdin akan menggosoknya terlebih
dahulu, persis ungkapan kata Alex Osborn telah membuktikan bahawa kejayaan
semanis madu tidak akan terjana tanpa curahan usaha yang bersungguh-sungguh
kerana peribahasa Melayu ada menyebut, kalau
tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Hakikatnya, media
massa juga menggalas kewajipan untuk menyebarluaskan informasi berkaitan ilmu
kepenggunaan merupakan prakarsa bagi menangkis masalah kenaikan harga barang.
Sebagaimana yang kita sedia maklum bahawa ilmu kepenggunaan dalam kalangan
masyarakat Malaysia masih kurang meluas dan berada di takuk yang lama. Oleh
itu, tidak hairanlah sekiranya segelintir golongan peniaga yang mengutamakan
keuntungan akan bersikap ibarat menangguk
di air keruh, menindas gologan pengguna yang tidak berdosa. Oleh hal
yang sedemikian, media massa haruslah menyumbang tenaga secara optimum dengan
menerapkan pengetahuan berkaitan hak-hak pengguna kepada seluruh strata
masyarakat. Dengan komitmen pihak media massa, pengguna akan mengetahui kaedah
yang efisien untuk menuntut hak mereka daripada dimanipulasikan oleh para
peniaga yang durjana. Misalnya, apabila berlaku kenaikan harga barangan,
pengguna akan dapat membuat aduan kepada pihak berwajib dan agensi bukan kerajaan
supaya hak-hak mereka dapat dipertahankan. Melalui penyebaran maklumat oleh
media cetak dan media elektronik, para pengguna termasuk suri rumah tangga akan
memperoleh ilmu kepenggunaan secara total dan bertindak berani kerana
benar dalam memperjuangkan hak mereka seterusnya mengatasi kemelut
kenaikan harga barangan di negara ini.
Setelah
meniti perbincangan secara panjang lebar, sudah
terang lagi bersuluh, segenap lapisan masyarakat mesti bersama-sama menggembleng
tenaga untuk mengekang kenaikan harga barangan dari peringkat akar umbinya.
Sebagai manusia yang kamil dan soleh, kita tidak wajar menadah tangan ke langit
menunggu kejatuhan lampu ajaib Aladdin kerana peribahasa Melayu ada menyatakan,
yang bulat tak datang bergolek, yang
pipih tak datang melayang. Oleh itu,semua anggota komuniti haruslah
mendukung semangat habis kapak
berganti beliung untuk membendung masalah tersebut. Oleh itu, Wawasan 2020 yang dicetuskan oleh
mantan Perdana Menteri kita yang keempat, Tun Mahathir bin Mohamad bukan lagi
menjadi angan-angan Mat Jenin.
You don't mind if I copy and paste this right? I want to print and read it. It's very nice... :)
ReplyDelete