© 2013 HAK CIPTA TERPELIHARA SUBBASH EKAMBARAM. Powered by Blogger.

Monday 21 January 2013

FAEDAH-FAEDAH MENGGUNAKAN PERPUSTAKAAN

Pada era ledakan teknologi yang semakin maju seiring dengan kemajuan ekonomi negara, pelbagai kemudahan telah disediakan oleh pihak kerajaan. Satu daripada kemudahan tersebut ialah perpustakaan yang merupakan sebuah institusi yang telah wujud sejak zaman kegemilangan tamadun Islam pada suatu ketika dahulu. Pada zaman kegemilangan kerajaan Abbasiyah misalnya, Khalifah Umar Bin Abdul Aziz telah membina sebuah perpustakaan yang dikenali sebagai Baitul Hikmah yang berfungsi sebagai pusat penyimpanan khazanah ilmu, pusat penterjemahan serta perjumpaan para cendekiawan dan ulama. Pada masa ini, semua perpustakaan yang dibina di seluruh pelosok negara memainkan peranan yang sama iaitu sebagai gedung dan pusaka ilmu bagi kemudahan semua pihak. Tambahan pula, perpustakaan pada zaman ini menyediakan kemudahan jalur lebar atau kemudahan Internet yang boleh menambahkan lagi kesenangan pengguna untuk mencari maklumat yang diperlukan. Ternyata perpustakaan yang disediakan oleh pihak kerajaan mendatangkan pelbagai kemaslahatan kepada masyarakat, cuma terpulang kepada masyarakat sama ada mahu atau tidak menggunakannya kerana yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak akan datang melayang.

Antara faedah menggunakan perpustakaan ialah pelajar serta orang awam dapat menimba pelbagai ilmu pengetahuan yang tersimpan di dalamnya. Hal ini demikian kerana perpustakaan menempatkan jutaan ilmu pengetahuan yang dinukilkan oleh penulis dari seluruh pelosok dunia dengan menggunakan pelbagai bahasa. Malahan  di sesetengah perpustakan elit, tersimpan ilmu pengetahuan yang dihasilkan oleh tokoh atau bijak pandai jutaan tahun dahulu. Dalam hal ini semua pihak hendaklah rajin mengunjungi perpustakaan sama ada untuk mendapatkan maklumat atau membaca pelbagai buku bersesuaian dengan cogan kata Membaca Jambatan Ilmu. Suasana perpustakaan yang kondusif dan hening mampu memberikan ketenangan kepada pengunjungnya untuk menelaah dan membongkarkan pelbagai rahsia tersembunyi daripada bahan yang dibaca. Di perpustakaan, kita boleh memperoleh pelbagai ilmu pengetahuan seperti keagamaan, falsafah, kemanusiaan serta ilmu pengetahuan berkaitan sains dan teknologi. Pada hari ini ilmu pengetahuan sangat berguna dalam hidup kita umpama tulang belakang yang berfungsi menampung tubuh badan kita untuk mneruskan kehidupan. Tuntasnya, setiap individu seharusnya mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi dan perpustakaanlah tempat yang wajar dikunjungi atas sebab kekayaan ilmu pengetahuan di situ.

Selain itu, perpustakaan juga boleh dijadikan tempat untuk mengisi masa lapang secara berfaedah khususnya kepada golongan muda dan para pelajar. Hal ini demikian kerana pada masa ini perpustakaan bukan sahaja menyediakan bahan bacaan seperti buku dan majalah tetapi juga telah dilengkapi dengan pendingin hawa, komputer dan Internet. Kemudahan-kemudahan yang disediakan boleh menarik minat generasi muda mengunjungi perpustakaan sekali gus mengelakkan remaja terlibat dengan budaya lepak serta  melakukan pelbagai aktiviti yang tidak berfaedah. Suasana kondusif yang diwujudkan di dalam perpustakaan akan mendorong masyarakat untuk meluangkan  banyak masa senggang secara lebih proaktif kerana sesungguhnya masa itu emas. Sebagai contoh,Perpustakaan Sultan Ismail di Johor Bahru telah menyediakan sebuah ruang untuk kegunaan proses pembelajaran secara interaktif. Di perpustakaan tersebut, Petrosains dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah membuka cawangan mini bagi mendorong lebih ramai generasi muda melawat dan menghabiskan masa di situ. Sesungguhnya, dengan mengunjungi perpustakaan kita dapat menguruskan masa secara bijak kerana masa itu ibarat  pedang yang tajam, sekiranya kita terlewat mata pedang itu sendiri akan memenggal kepala kita.

Seterusnya, penggunaan perpustakaan secara berterusan juga mampu menyemai serta memupuk budaya membaca dalam kalangan masyarakat khususnya generasi muda. Dalam hal ini ibu bapa memainkan peranan yang dominan dengan sering membawa anak-anak berkunjung ke perpustakaan agar mereka terbiasa dengan buku-buku bersesuaian dengan kata peribahasa  melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ibu bapa perlulah berindak sebagai suri teladan kepada anak-anak dengan berkunjung ke perpustakaan sama ada untuk membaca, meminjam buku atau menggunakan kemudahan Internet yang disediakan. Dengan berkunjung ke perpustakaan orang ramai boleh memilih bacaan yang mereka gemari mengikut usia masing-masing seperti akhbar, majalah, jurnal, komik serta pelbagai bahan ilmiah yang telah diterbitkan. Budaya suka membaca penting diterapkan dalam kalangan generasi muda yang bakal mewarisi tampuk kepimpinan negara agar mereka dilengkapi dengan pelbagai ilmu pengetahuan. Situasi ini penting agar mereka mampu bersaing di peringkat global sekali gus membolehkan Malaysia duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain. Dalam konteks ini, kita perlulah menjadikan negara matahari terbit, Jepun sebagai contoh kerana kejayaan membangunkan negara mereka hasil daripada budaya membaca yang tinggi masyarakatnya. Jelas bahawa perpustakaan mampu menerbitkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat sekali gus melahirkan masyarakat yang berjaya kerana Masyarakat Membaca Masyarakat Berjaya.

Intihanya, tiada suatu objek atau makhluk yang diciptakan oleh Allah S.W.T di muka bumi ini tanpa ada hikmah atau kemaslahatan di sebaliknya. Lantaran itu, bilangan perpustakaan yang merupakan gedung ilmu perlulah ditambah dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan teknologi demi menggamit dan mendorong masyarakat berkunjung ke perpustakaan. Masyarakat khususnya golongan pelajar seharusnya menjangkau sehabis tangan untuk merebut peluang dan menggunakan sebaik mungkin kemudahan yang disediakan oleh pihak pengurusan perpustakaan untuk membongkar segala khazanah ilmu yang tersimpan di situ. Jelas bahawa perpustakaan mempunyai banyak kebaikannya, namun begitu terpulanglah kepada orang ramai kerana segala-galanya berada dalam tangan masing-masing bersesuaian dengan kata peribahasa yang bulat tidak akan datang bergolek, yang pipih tidak akan datang melayang.




2 comments :