© 2013 HAK CIPTA TERPELIHARA SUBBASH EKAMBARAM. Powered by Blogger.

Monday 21 January 2013

LANGKAH-LANGKAH MEMBANTU ORANG KELAINAN UPAYA (OKU)

Orang Kelainan  Upaya (OKU) merupakan orang yang kurang bernasib baik. Mereka dilahirkan dalam keadaan cacat.  Ada juga yang menjadi cacat akibat mengalami kemalangan yang menjejaskan anggota badan. Mereka tidak dapat menjalani kehidupan yang sempurna kerana kekurangan yang dimiliki. Mereka perlu dibantu untuk melakukan sesuatu pekerjaan. Terdapat pelbagai pihak yang perlu memainkan peranan  untuk membantu Orang Kelainan Upaya (OKU).
               
Ibu bapa berperanan mendidik anak-anak mereka supaya menghormati serta tidak memandang hina OKU.  Hal ini demikian kerana OKU juga mempunyai perasaan mahu dihargai, disayangi dan dihormati oleh masyarakat. Sebagai contoh, anak-anak diajar supaya tidak memandang sebelah mata terhadap OKU. Mereka juga dilarang mentertawakan OKU akibat kecacatan yang mereka alami ketika berhadapan dengan mereka. Tegasnya, ibu bapa perlu mendidik anak-anak supaya menghormati OKU.
              
Selain itu, pihak kerajaan hendaklah menyediakan pelbagai peluang pendidikan dan memberikan kemahiran kepada golongan OKU. Hal ini demikian kerana pendidikan dan kemahiran sangat penting demi masa depan mereka. Langkah pihak kerajaan mewujudkan Kelas Pendidikan Khas amat wajar diberiakan pujian. Jelaslah bahawa pihak kerajaan memainkan peranan penting dalam membantu OKU sebagaimana slogan yang dilaungkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib bin Tun Abdul Razak ,’Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’.
               
Di samping itu, pihak swasta juga hendaklah turut sama membantu golongan OKU menjalani kehidupan yang lebih baik.  Mereka tidak seharusnya bersikap lepas tangan dan tidak menganggap OKU sebagai beban. Sebagai contoh, usaha murni pengusaha pusat beli-belah yang menyediakan kemudahan untuk golongan OKU seperti lorong khas, tandas dan tempat letak kenderaan amat dihargai.  Sikap pihak swasta yang menunjukkan keperihatinan dan menunaikan tanggungjawab mereka terhadap golongan yang kurang bernasib baik ini perlu dicontohi.
                
Seterusnya, pihak media massa boleh memainkan peranan mereka dengan menyebarkan maklumat tentang peluang pendidikan dan kerjaya bagi  OKU. Setiap maklumat  mestilah disampaikan dan disebarkan oleh pihak media massa  kepada orang ramai. Kempen  Masyarakat Penyayang yang dilancarkan oleh pihak kerajaan perlulah disampaikan melalui saluran media massa. Maklumat tersebut boleh disalurkan melalui iklan, kempen dan melalui drama. Kesannya, orang ramai akan mendapat maklumat tentang OKU secara telus. Jelaslah, nasib OKU akan terbela dengan adanya peranan media massa.
          
Setiap individu perlu menunjukkan nilai-nilai murni. Hal ini demikan kerana setiap individu mempunyai tangungjawab masing-masing. Sebagai contoh, mereka perlu membantu golongan OKU semasa melintas jalan, menaiki bas atau ketika OKU memerlukan sebarang bantuan. Hal ini bertepatan dengan maksud peribahasa ‘berat mata memandang, berat lagi bahu memikul’.  Pendek kata, setiap individu hendaklah mengamalkan nilai-nilai murni bagi membantu golongan ini.
       
Kesimpulannya, sudah terang lagi bersuluh bahawa  pelbagai pihak perlu memainkan peranan untuk membantu OKU.  Semua pihak perlu berganding bahu, bak kata peribahasa berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, bagi membela nasib dan masa depan golongan OKU.

3 comments :

  1. wow subbash .this is your blog.tq man.you might not know me because i was in form 3 when youre in form 5

    ReplyDelete
  2. owh..ok...welcome & gd lck fr ur SPM ;)

    ReplyDelete