“Rumahku,
syurgaku” merupakan ungkapan keramat yang memanifestasikan peri pentingnya
setiap ahli dalam sesebuah keluarga memainkan peranan masing-masing dengan
sebaik mungkin sehingga menjelmakan kebahagiaan yang menjadikan rumah seumpama
syurga. Semua insan mengidamkan sebuah keluarga yang bahagia, tidak terkecuali
saya. Dalam sebuah keluarga yang bahagia, nilai toleransi, bertimbang rasa,
kasih sayang, hormat menghormati dan kejujuran sewajarnya menunjangi kehidupan
seharian ahli-ahlinya. Tidak lengkap jika setiap ahli keluarga hanya melakukan
kerja sendiri tanpa mempedulikan ahli keluarga yang lain kerana sikap saling
membantu bagai aur dengan tebing
harus diamalkan dalam sesebuah keluarga. Sukar untuk dipercayai jika seseorang
itu mengatakan bahawa dia tidak mengimpikan keluarga yang bahagia lagi harmoni.
Oleh itu, kita harus membebaskan mereka daripada belenggu kejahilan dan
kegelapan itu kerana tanpa keluarga tidak mungkin kita akan menjadi insan yang
berjaya dalam kehidupan.
Sesungguhnya setiap
individu harus memikul dan melaksanakan
kewajipan masing-masing demi
mewujudkan sebuah keluarga yang bahagia. Ibu bapa haruslah memainkan
peranan penting untuk membina keluarga yang harmoni dan mewujudkan kebahagiaan
dalam keluarga. Ibu bapalah yang akan membentuk sahsiah anak-anak. Ibu bapa
jugalah yang akan memberikan bekalan yang terbaik kepada anak-anak seperti ilmu
pengetahuan dan penerapan nilai-nilai murni. Anak-anak pada era globalisasi ini semakin cepat
menerima apa-apa yang dipelajari, maka
anak-anak ini perlu dibaja dengan perkara yang baik dan berfaedah serta
membuahkan hasil. Anak-anak umpama sehelai kain putih yang harus dicorakkan
oleh ibu bapa supaya menjadi sehelai kain batik yang cantik lagi menarik.
Sewaktu anak-anak masih kecil, ibu bapalah
yang menjadi guru mereka kerana
merekalah guru yang pertama dan terdekat yang boleh membimbing anak-anak supaya
menjadi insan yang berwawasan apabila dewasa kelak. Anak-anak akan meniru jejak
langkah ibu dan bapa kerana mereka merupakan idola anak-anak mereka semasa
kecil dan hal ini dapat diibaratkan bagaimana
acuan, begitulah kuihnya. Haruslah diingatkan bahawa setiap tingkah laku
yang dipamerkan oleh ibu bapa pasti ada yang akan menjejaki langkah mereka.
Tuntasnya, benarlah bahawa ibu bapa
haruslah membentuk sahsiah anak-anak mereka untuk menjadi insan yang cemerlang
dari segi fizikal mahupun rohani mereka dan ciri keluarga beginilah yang
menjadi impian saya.
Selain itu, ibu
bapa hendaklah mengajar anak-anak mereka yang mana intan, yang mana kaca, iaitu mereka bijak membezakan antara
perbuatan yang baik dan sebaliknya. Hal ini disebabkan oleh sifat anak-anak
yang naif lantas tidak berupaya membezakan antara perbuatan yang baik dan perbuatan yang buruk. Dalam
konteks ini ibu bapa haruslah mengajar
anak-anak mereka tentang realiti
menempuh kehidupan yang diredai Tuhan. Ibu bapa harus mengawasi pergaulan
anak-anak di luar rumah kerana dikhuatiri mereka terlampau bebas sehingga
terjerumus ke lembah dunia yang penuh dengan masalah sosial dan susila yang
meruncing sedangkan mereka masih berumur setahun
jagung dan darah setampuk pinang.
Ibu bapa haruslah memastikan anak-anak mereka tidak bergaul dengan rakan yang
buruk akhlaknya kerana hal tersebut akan menggelapkan masa depan mereka. Tidak
cukup jika kasih sayang yang diberikan seperti bena tak bena. Sebaliknya, ibu
bapa haruslah memberikan kasih sayang mereka dengan secukupnya selain melayan
anak-anak bagai menatang minyak yang
penuh. Ibu bapa juga perlu memastikan
anak-anak memperoleh didikan agama yang mantap sejak anak-anak masih
kecil lagi kerana tanpa pegangan agama yang kukuh mereka akan tersesat seperti layang-layang terputus talinya.
Ironinya, ibu bapa haruslah mendidik
anak-anak sejak mereka kecil lagi supaya mereka tidak tersesat ketika menempuh
belantara kehidupan. Dalam benak
saya, inilah antara ciri yang perlu ada dalam keluarga yang menjadi
idaman saya.
Anak-anak akan kehilangan semangat untuk melakukan
sebarang kerja seharian jika ibu bapa tidak meluangkan masa dengan mereka
walaupun hanya untuk bertanyakan khabar. Lantaran itu, ibu bapa haruslah
berusaha sedaya mungkin untuk meluangkan masa bersama dengan anak-anak.
Meluangkan masa bersama-sama ahli keluarga tidak bererti mereka hanya melakukan aktiviti di luar
rumah, bahkan usaha tersebut boleh juga
dilakukan di dalam rumah sepeti membincangkan masalah yang membelenggu
pemikiran anak-anak di samping menyelesaikannya. Ibu bapa haruslah mengambil
berat terhadap anak-anak dengan
bertanyakan masalah yang dihadapi, perkembangan pelajaran di sekolah dan
kehidupan sosial mereka. Ibu bapa tidak seharusnya memperlihatkan sikap rakus
dalam mengejar fatamorgana dalam aspek
kebendaan sehingga mengabaikan tanggungjawab
terhadap anak-anak. Wang ringgit bukanlah penyelesaian bagi setiap
masalah yang dihadapi tetapi kasih sayang yang ikhlas dari lubuk hati yang suci
itu adalah penting bagi menjana keluarga bahagia. Tidak salah jika ibu bapa
mencari rezeki pada siang hari, tetapi
jika sering pulang lewat petang sehingga mengabaikan makan minum anak-anak,
tentu mereka akan makan hati. Peribahasa Arab pernah mengatakan bahawa anak-anak yang
kurang memperoleh kasih sayang daripada ibu bapa yang sibuk adalah yatim. Walau
bagaimanapun, ibu bapa haruslah
meluangkan masa mereka bersama dengan anak-anak
agar mereka tidak kesunyian di samping dapat membina keluarga
bahagia.
Menjadi anak yang derhaka ialah perkara yang dilarang
sama sekali dalam mana-mana ajaran agama. Untuk mewujudkan keluarga bahagia, anak-anak haruslah menuruti perintah ibu
bapa mereka. Anak-anak hendaklah belajar dengan penuh kesungguhan dan
mendapat keputusan yang cemerlang kerana
pencapaian tersebut dapat membanggakan ibu bapa untuk membalas jasa mereka.
Anak-anak seharusnya memuliakan maruah diri dan maruah keluarga dengan tidak
melibatkan diri dengan aktiviti yang tidak sihat seperti vandalisme, lumba
haram, dan menagih dadah. Anak-anak sewajarnya mendengar nasihat ibu bapa,
bukannya menjadikan diri mereka tidak ubah seperti mencurahkan air ke daun
keladi. Tidak sepatutnya jasa ibu bapa yang tidak terbalas itu dilupakan begitu sahaja. Sebagai insan yang bergelar
anak kita haruslah mengenang jasa mereka
kerana kita ditegah untuk menjadi seperti kacang
lupakan kulit. Anak-anak haruslah mengambil alih tugas ibu bapa yang dahulu
menjaga kita sewaktu kecil dan kini tugas itu diambil oleh generasi muda untuk
menjaga ibu bapa mereka yang sudah uzur yang sudah tidak boleh menguruskan diri
mereka lagi. Jika ibu bapa boleh menatang kita umpama anak emas, mengapa kita sebagai anak tidak boleh melakukan hal yang
sama? Hal ini disebabkan oleh mereka masih tidak bijak untuk menghargai
seseorang yang telah berjasa kepada diri mereka sedangkan ibu bapalah yang telah membimbing, mendidik
dan menjaga mereka sejak mereka kecil lagi. Seandainya tiada ibu bapa,siapakah
kita pada hari ini? Akhir sekali,anak-anak
harus mentaati perintah ibu bapa agar keluarga bahagia dapat dibina.
Sejujurnya, inilah antara ciri yang perlu ada dalam sebuah keluarga yang
menjadi impian saya.
Haruslah menjadi kewajipan
dalam institusi kekeluargaan untuk saling
hormat menghormati antara satu sama
lain. Ahli keluarga sewajarnya mengelakkan daripada mencetuskan pertelingkahan,
terutamanya antara ibu bapa dengan anak-anak kerana keluarga bahagia tidak
seharusnya ada sikap seperti ini dan hal ini boleh mencemarkan nama baik
keluarga secara tidak langsung. Ramai orang mengatakan bahawa keluarga yang
bahagia ialah keluarga yang harmoni, aman dan damai. Sebagai ahli keluarga yang
prihatin dan mengambil berat terhadap keluarga, mereka haruslah mewujudkan
situasi ini dalam keluarga agar keluarga kita dihormati oleh masyarakat luar
dan tidak dipandang serong serta dipandang hina. Ahli keluarga haruslah bahu-membahu antara satu sama lain.
Seandainya dalam keluarga itu ada seorang yang lemah dalam subjek matematik,
haruslah dibantu oleh adik beradik yang lain kerana sikap bantu membantu ialah
sikap yang baik dan mulia. Orang yang kedekut ilmu selalunya merupakan orang
yang rugi kerana mereka tidak ingin membantu memajukan generasi akan datang,
malah mereka lebih rela melihat generasi akan datang dipijak oleh penjajah.
Kita haruslah mengamalkan sikap berat
sama dipikul, ringan sama dijinjing
dan ke gunung sama didaki, ke lurah sama
dituruni. Tegasnya, saya mengimpikan
ahli keluarga yang mengamalkan
nilai-nilai murni dalam kehidupan untuk
membina keluarga bahagia di samping membangunkan generasi akan datang agar
sesebuah institusi keluarga itu menjadi keluarga yang dihormati.
Kesimpulannya, itulah
antara ciri keluarga yang menjadi impian saya, terutamanya setelah saya dewasa
dan membina keluarga sendiri. Semuanya akan menjadi kenyataan sekiranya saya
berjaya dalam bidang pelajaran yang sudah pasti akan menjadikan masa hadapan
saya cerah kerana kedudukan ekonomi saya yang stabil. Selain itu, saya dan
pasangan yang menjadi suri kehidupan saya akan memikul tanggungjawab dengan
sebaik yang mungkin agar anak-anak akan menjadikan kami sebagai rol model
mereka. Dengan keizinan daripada Yang Maha Esa, mudah-mudahan impian saya akan
tercapai. Lebih jauh lagi, saya mesti berusaha dengan penuh kesungguhan agar
impian tidak tinggal sebagai mimpi pada siang hari kerana tanpa usaha tiadalah
kejayaan. Semoga fajar yang menyingsing
pada sekurang-kurangnya sepuluh tahun akan datang memberikan sinaran paling gemilang dalam
kehidupan saya.
0 comments :
Post a Comment