© 2013 HAK CIPTA TERPELIHARA SUBBASH EKAMBARAM. Powered by Blogger.

Monday 21 January 2013

CARA-CARA MENGHARGAI JASA GURU

Sasterawan Negara, Datuk Usman Awang pernah menyatakan bahawa lahirnya seorang Perdana Menteri, doktor, peguam dan pensyarah adalah bermula daripada seorang guru biasa yang mengajarnya membaca dan menulis. Nah, inilah ungkapan yang mengangkat martabat seorang guru dalam mendidik anak bangsa tanpa mengira masa, tenaga serta wang ringgit. Mereka ibarat matahari yang menyinari kehidupan insaniah dengan cahaya ilmunya. Kegigihan guru dalam mendidik anak watan dengan ikhlas tanpa rasa jemu tidak perlu dipertikaikan.  Tanpa usaha dan pengorbanan guru, tidak mungkin pelajar mencapai kejayaan yang cemerlang.  Oleh itu, cara-cara menghargai jasa guru yang mewarnai fokus perbincangan akan dihuraikan dan dipericikan untuk kepentingan bersama.
             
Memetik kata-kata daripada Mantan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang menyatakan bahawa pemupukan adab menghormati guru bermula dari rumah dan mengharapkan ibu bapa menggalakkan anak-anak mereka menghargai jasa guru.  Berdasarkan pernyataan tersebut, jelaslah adab menghormati guru merupakan elemen penting dalam memupuk budi bahasa dan adab sopan dalam kalangan pelajar. Pelajar yang menjaga tutur kata dan adab ketika berhadapan dengan guru merupakan antara cara kita menghargai jasa guru. Para pelajar perlulah sentiasa bermanis muka sambil mengucapkan selamat sejahtera atau memberikan salam ketika berhadapan atau berselisih dengan guru tanpa mengira keadaan.  Semasa di dalam kelas, pelajar yang menghormati guru tidak sesekali membuat bising sehingga mengganggu  guru semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung.  Sikap seperti masuk telinga kiri keluar telinga kanan perlu dielakkan. Dalam konteks ini, mereka sewajarnya memberikan tumpuan dan perhatian sepenuhnya semasa pengajaran guru dan sentiasa mengambil peluang bertanya dan berbincang tentang pelajaran. Ketika mengadakan sesi perbincangan di kelas, pelajar perlu menjaga  tata susila, tidak meninggikan suara dan memandang guru serta rakan dengan mesra. Bukankah guru merupakan lubuk akal lautan ilmu? Tegasnya, berbudi bahasa serta beradab sopan merupakan amalan terpuji bagi menghargai guru yang mengajar serta mendidik kita.

Berdisiplin dan mematuhi peraturan sekolah juga merupakan salah satu  cara yang tidak boleh dikesampingkan oleh pelajar yang terpancar akhlak mulianya.  Antara ciri pelajar yang berdisiplin ialah mereka sentiasa datang awal ke sekolah, sentiasa menepati masa, tidak terlibat dalam gangsterisme, vandalisme mahupun ponteng sekolah. Selain itu, pelajar berpakaian seragam dengan kemas  dengan rambut bersisir rapi. Amalan seumpama ini, memupuk disiplin pelajar untuk bersedia belajar seterusnya mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak sekolah.  Jika disiplin terkawal sudah tentu memudahkan tugas guru untuk mengajar seterusnya mendidik pelajar agar berjaya dengan cemerlang. Peribahasa bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat, membuktikan kerjasama erat antara guru dan pelajar dalam mematuhi  peraturan yang ditetapkan pasti menjadi pemangkin kecemerlangan akademik serta sahsiah pelajar. Jelaslah, mematuhi disiplin mencerminkan penghormatan pelajar kepada guru.

Di samping itu, pelajar perlu prihatin dan menunjukkan kasih sayang terhadap guru. Amalan mengingati dan menghargai jasa guru merupakan amalan yang mulia. Para guru akan berasa bahawa jasa  mereka dihargai walaupun mereka tidak berkhidmat sebagai pendidik lagi. Kita boleh menghargai jasa guru dengan meraikan sambutan Hari Guru pada setiap tanggal 16 Mei. Pada  hari tersebut, sewajarnya pelajar memberikan hadiah kepada guru yang mengajar mereka sebagai tanda penghargaan  atas segala usaha dan titik peluh yang dicurahkan. Hadiah yang diberikan tidak semestinya berpaksi kepada wang ringgit semata-mata tetapi mestilah disertakan dengan hati yang tulus lagi ikhlas. Nilai bukan ukuran tetapi pemberian yang ikhlas itu lebih bermakna. Sekiranya pelajar tidak mampu memberikan hadiah, cukuplah sekadaru ucapan selamat hari guru.
                 
Amalan ziarah-menziarahi guru perlulah dijadikan budaya dalam kalangan pelajar.     Menziarahi guru ketika mereka mengalami kesusahan dan sakit juga cara kita menghargai jasa para guru. Sebagai manusia tentunya para guru menghadapi pelbagai masalah dalam kehidupan. Sebagai contohnya,  kemungkinan guru ditimpa kemalangan, bencana, menghidapi penyakit dan sebagainya kerana malang tidak berbau.  Sebagai pelajar, kita perlu menziarahi mereka jika mereka menghadapi situasi tersebut sebagai tanda melahirkan rasa simpati ibarat cubit paha kanan paha kiri terasa sakitnya. Ketika menziarahi mereka sakit, kita perlulah membawa buah tangan untuk menggembirakan guru sekali gus mengurangkan beban kesakitan yang ditanggung. Jika mereka mengalami kemalangan atau bencana alam, kita perlu mengutip derma bagi meringankan beban yang mereka tanggung. Hal ini amat bertepatan dengan peribahasa, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Jelaslah bahawa frasa, jasamu dikenang, budimu disanjung bukanlah sekadar omongan kosong kerana pengorbanan guru sentiasa dikenang oleh para pelajar.
                   
Selain itu, kita juga boleh menghargai jasa guru dengan mendoakan kesejahteraan guru yang telah mengajar dan mendidik kita selama ini. Mendoakan kesejahteraan guru sama ada semasa hayatnya atau sesudah mereka kembali ke rahmatullah membuktikan kita sentiasa mengenang jasa mereka. Kita perlulah mendoakan mereka agar sentiasa sihat sejahtera dan dielakkan daripada segala bahaya. Hal ini kerana jika guru sihat sudah tentu mereka akan dapat menjalankan tugas mendidik anak watan dengan sempurna. Bagi mereka yang telah meninggal dunia, kita perlulah mendoakan agar dosa-dosa mereka diampunkan agar mereka sejahtera di alam barzakh. Sesungguhnya, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama dan sudah tentu jasa serta pengorbanan guru akan terus dikenang sepanjang masa.
              
Sudah terang lagi bersuluh, jasa dan  pengorbanan seorang guru itu sukar untuk dibalas walaupun dengan segunung intan. Tanpa guru siapalah kita kerana gurulah yang mengajar kita mengenali erti kehidupan. Justeru, marilah kita bersama-sama menghargai jasa guru agar ilmu yang kita peroleh daripadanya mendapat keberkatan daripada Tuhan. Renungilah bait-bait puisi di bawah.

            Guru,
            kau ibarat dian yang membakar diri
            melahirkan insan yang lestari
            tanpa mengira waktu dan hari
            segala ilmu dicurah dan diberi
            kerana kau sedar tanggungjawab yang diberi
            tanpamu negara tak mungkin teguh berdiri.                             

1 comments :

  1. Saya suka karangan ni.Banyak penggunaan peribahasa.

    ReplyDelete