© 2013 HAK CIPTA TERPELIHARA SUBBASH EKAMBARAM. Powered by Blogger.

Monday 21 January 2013

DISIPLIN TERAS KEJAYAAN



Mendepani realiti baru era milenium yang pantas berubah dan berkembang ini, masyarakat dinamik, madani serta inovatif amat diperlukan untuk mencapai kejayaan agar dapat anak watan di negara ini  mampu duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara gergasi seperti Jepun, Amerika Syarikat dan Perancis. Hal ini demikian, disiplin merupakan cerucuk fundamental bagi kejayaan sesebuah bangsa. Secara holistik, disiplin merupakan pemangkin bagi melahirkan sebuah komuniti yang progresif, berketerampilan dan berupaya mendepani setiap kekangan untuk mengharungi arus perubahan dunia yang semakin mencabar. .
             
Disiplin dapat melahirkan pelajar yang mempunyai keinsanan yang syumul. Hal ini demikian, disiplin merupakan asas bagi sesebuah kejayaan. Contohnya, seseorang pelajar yang ingin berjaya mestilah rajin untuk mengulang kaji pelajaran, bangun awal ke sekolah, membuat semua kerja sekolah yang diberikan dan mematuhi peraturan sekolah. Tanpa disiplin, tidak mungkin seseorang pelajar dapat melakukan perkara-perkara tersebut. Malahan, budaya pesimistik dalam kalangan pelajar mestilah dikikis demi menyambut gamitan menara impian. Tamsilnya, Nik Nur Madihah yang merupakan pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2008 mendapat   20 A dalam peperiksaan awam. Beliau tidak menjadikan kemiskinan yang membelenggu hidupnya sebagai batu penarung. Sebaliknya, disebabkan kerajinan, kegigihan, ketekunan dan yang paling perdana iaitu disiplin beliau yang tinggi dan minda yang positif telah menyuntik semangat dirinya untuk menggapai  kejayaan persis kata tokoh terkemuka,  Cecil B. DeMille iaitu orang yang berjaya dalam hidup ialah orang yang nampak tujuannya dengan jelas dan menjurus kepada tujuan itu tanpa menyimpang.  Jelaslah bahawa disiplin merupakan formula yang paling manjur untuk anak watan ini meraih kegemilangan dalam kehidupan.
            
Selain itu, ibu bapa juga memerlukan disiplin yang tinggi untuk melahirkan sebuah keluarga sakinah.  Ibu bapa menggalas tanggungjawab yang berat dalam sesebuah institusi keluarga. Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam mendidik anak-anak agar menjadi warganegara yang berguna kerana anak yang baru lahir ibarat kain putih dan ibu bapalah yang mencorak, mewarnai dan membentuk keperibadian cahaya mata mereka. Tidak lain tidak bukan, disiplinlah yang diterapkan dalam diri ibu bapa untuk membentuk diri anak mereka yang gemilang. Bukan itu sahaja, ibu bapa juga mestilah berupaya menjadi rol model yang baik kerana segala perwatakan ibu bapa akan dicontohi anak-anak bak kata peribahasa, bagaimana acuannya, begitulah kuihnya. Malahan, ibu bapa bukan sahaja perlu mendidik anak-anak, mereka juga perlu menyediakan segala keperluan serta membesarkan anak-anak. Izharnya, ibu bapa juga hendaklah mempunyai disiplin diri untuk mewujudkan sebuah keluarga bahagia dan melahirkan anak yang membudayakan  sifat-sifat  mahmudah dan menghindari segala unsur  mazmumah..
             
Sementelahan itu, pekerja-pekerja sektor kerajaan mahupun swasta juga tidak terlepas daripada mempunyai disiplin dan komitmen yang tinggi terhadap amanah yang dipertanggungjawabkan kepada  mereka. Golongan pekerja berkolar putih dan biru ini mestilah menepati masa, bertanggungjawab dan amanah. Contohnya, seorang pegawai bank mestilah menepati masa untuk datang ke tempat kerja. Beliau juga hendaklah bertanggungjawab melakukan segala tugas yang diberikan dan berintergriti terhadap bidang tugas  yang melibatkan kewangan. Usahlah kita diibaratkan seperti dalam peribahasa harapkan pagar, pagar makan padi.  Dalam abad ini, ketuanan dan keterbilangan sesebuah negara bersandarkan kehebatan ekonominya. kita mahukan generasi yang diibaratkan duduk meraut ranjau, tegak meninjau jarak bukannya pemimpin yang hanya tahu menakik darah di batu. Kita perlu lakukan transformasi ekonomi melalui generasi yang bijak meneroka dan mencuba sesuatu yang baru dan hasilnya mengagumkan seluruh planet ini Ternyata bahawa, dalam melakukan sesuatu pekerjaan disiplin diri amat penting kerana kejayaan tidak datang bergolek.
             
Seterusnya, sebagai pengguna jalan raya, kita mestilah berdisiplin dan memandu secara berhemah. Disiplin yang diamalkan dalam pemanduan dapat mengurangkan kadar kemalangan yang semakin hari semakin meningkat. Seorang pemandu mestilah mematuhi peraturan jalan raya dengan memasang tali pinggang keledar, mematuhi had laju dan peka terhadap papan tanda di tepi jalan. Secara tidak langsung, kadar kamalangan yang sudah mencapai tahap mencemaskan ini lebih-lebih lagi semasa musim perayaan dapat dikurangkan.  Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kerajaan tiada mahu langsung kemalangan jalan raya pada musim perayaan walaupun ramai menganggapnya mustahil.  Menurutnya,keadaan "nahas sifar" ini boleh dicapai kerana kajian menunjukkan kebanyakan kemalangan jalan raya disebabkan oleh faktor manusia dan bukannya faktor kenderaan atau jalan tidak elok. Memang Ops Sikap itu membantu kerana tanpa Ops Sikap, kita tidak dapat membayangkan betapa banyak lagi yang akan mati di atas jalan raya. Persoalannya takkan sehingga kita terpaksa mengharapkan Ops Sikap sepanjang tahun, tetapi pemandu itu sendiri tidak mahu mengubah sikap mereka sendiri. Slogan "Anda Mampu Mengubahnya" memang tepat sebagai peringatan kepada semua pengguna jalan raya.
Jelaslah bahawa, pemandu yang berdisiplin dan berhemah dapat membantu mengurangkan kehilangan nyawa yang lebih banyak dan ini bertepatan dengan slogan, pandu cermat, jiwa selamat.
             
Di samping itu, sebagai pengguna  mestilah bijak mengutamakan disiplin ketika  berbelanja. Dalam dunia yang serba canggih dan wujudnya Internet, masyarakat dapat membeli dan berbelanja dengan hanya mengakses maklumat hanya  di hujung jari sahaja. Masyarakat yang naïf dengan mata kebendaan yang melalaikan akan memboros dan berbelanja berpaksikan  hawa nafsu dan bukannya keperluan. Oleh sebab itu, golongan ini mestilah mempunyai disiplin diri agar dapat berjimat-cermat dan bijak merancang keperluan mereka. Secara tidak langsung, golongan ini dapat mengelakkan diri daripada berhutang dengan bank atau  lintah darat yang sentiasa mengintai peluang untuk mengaut keuntungan . Mukhtasarnya, individu yang dapat mengawal diri daripada terlalu mengikut hawa nafsu dan berlatih untuk mendisiplinkan diri agar berbelanja secara berhemat pasti dapat mengecapi kehidupan yang sempurna dan mempunyai sumber kewangan yang stabil bak kata peribahasa  beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis.
             
Akhirulkalam, disiplin merupakan cerucuk utama pembangunan negara kerana dengan disiplin kita mampu untuk mengadun satu kombinasi usaha yang cukup padu agar nama Malaysia gah di seluruh pojok dunia. Siapa menyangka bahawa tangan yang menghayun buaian itu boleh menggoncang dunia. Perkara-perkara ini menunjukkan bahawa orang yang  berdidiplin dan memiliki  minda yang positif ialah orang  yang tidak gentar akan perubahan dan menyesuaikan dirinya dengan perubahan tersebut. Dengan itu, sifat itu dengan sendirinya mampu membina sebuah masyarakat yang kreatif dasawarsa ini.  Oleh itu, marilah kita bergabung sinergi dan merencanakan  langkah sederap untuk mengotakan iltizam serta aspirasi negara iaitu Wawasan 2020 yang bakal tiba.

0 comments :

Post a Comment