© 2013 HAK CIPTA TERPELIHARA SUBBASH EKAMBARAM. Powered by Blogger.

Monday 21 January 2013

KEPENTINGAN MEMULIHARA BANGUNAN BERSEJARAH



Seperti yang kita sedia maklum, Malaysia wujud daripada ketamadunan silam iaitu Kesultanan Melayu Melaka dan kerajaan awal, seperti Kerajaan Langkasuka, Kerajaan Kedah Tua. Sementara itu, beberapa kerajaan lain di pantai Timur Semenanjung.  Malaysia pernah dijajah selama 446 tahun dan akhirnya mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.  Sejarah penubuhan kerajaan ini pastinya banyak meninggalkan bangunan bersejarah sama ada yang bercirikan tempatan mahupun Eropah. Sejak UNESCO mengiktiraf bandar Melaka dan Georgetown sebagai bandar warisan bersejarah atau tapak warisan dan ketamadunan dunia, barulah timbul kesedaran tentang kepentingan bangunan-bangunan bersejarah.  Menyedari hakikat ini, pihak kerajaan telah memperuntukkan sejumlah dana yang besar bagi memulihara bangunan bersejarah. Persoalannya, apakah kepentingan pemuliharaan bangunan-bangunan bersejarah dalam konteks Malaysia?
            
Salah satu kepentingan bangunan bersejarah atau monumen ialah, dapat dijadikan sebagai bukti kukuh tentang peristiwa sejarah yang telah berlaku kepada generasi akan datang.  Kita sedia maklum bahawa bangunan bersejarah atau monumen  bermaksud bangunan yang dibina untuk memperingati seseorang tokoh yang telah berjasa atau peristiwa penting yang pernah berlaku.  Walaupun Malaysia telah mencapai kemerdekaan selama lebih daripada 50 tahun, kesan yang ditinggalkan oleh penjajah kolonial seperti British, Belanda, dan Portugis masih dapat dilihat dan perlu dijaga serta dilestarikan.  Di samping itu, bangunan bersejarah amat penting untuk generasi kini dan juga generasi yang akan datang kerana dengan kewujudan bangunan bersejarah kita dapat membuktikan bahawa sejarah Malaysia yang telah dibukukan oleh penulis-penulis yang terkenal merupakan sesuatu yang realistik dan bukanlah cerita-cerita dongeng, metos atau legenda semata-mata.  Sebagai contoh, zaman kegemilangan bandar pelabuhan Melaka pada abad ke-15 dan abad ke-16 dapat dirasai dengan wujudnya Pintu Gerabang Porta de Santiago, Gereja Christ, Bangunan Stadhuys dan Gereja St. Paul.  Selain itu, Kota Cornwallis, Masjid Kling,Gereja St. Georgetown, Pulau Pinang dapat mengimbas kembali detik-detik sejarah negara yang pernah dijajah pada suatu masa dahulu dan juga dapat membuktikan berlakunya penjajahan awal, pemerintahan British di Semenanjung Tanah Melayu pada akhir abad ke-18.  Tegasnya, bangunan bersejarah dan monumen lama amat penting sebagai bahan bukti yang kukuh tentang peristiwa yang telah berlaku untuk ditunjukkan kepada generasi akan datang.
            
Selain itu, bangunan bersejarah dan monumen lama dapat memberikan teladan dan iktibar kepada masyarakat terutamanya golongan remaja.  Kita sedia maklum bahawa remaja pada hari ini kurang mempunyai kesedaran diri terutamanya berkaitan dengan sejarah Malaysia.  Dengan adanya bangunan bersejarah di negara kita. Sekurang-kurangnya mereka dapat menjadikannya sebagai panduan hidup mereka.  Sebagai contohnya, Kota A Famosa di Melaka yang merupakan sebuah kubu pertahanan yang kukuh telah dibina oleh Portugis setelah mereka berjaya menakluki Melaka dapat dijadikan iktibar.  Penaklukan ini terjadi kerana terdapatnya masalah perpaduan, kelemahan kepimpinan dan juga kelemahan tentera yang mengawal Melaka.  Jika kita menghayati sejarah, di sebalik bangunan tersebut serta mengambil pengajaran daripada peristiwa yang berlaku maka kita dapat terus mara tanpa mengulangi kesilapan yang dilakukan oleh masyarakat terdahulu.  Walaupun ada antara bangunan bersejarah yang hanya menggambarkan sejarah hitam negara, namun kita tidak harus menjadikannya sebagai halangan untuk mencapai kejayaan.  Negara kita juga mampu menjadi negara yang setaraf dengan negara-negara maju yang lain sekiranya kita tidak mengambil mudah dan mengambil ikhtibar daripada sejarah silam negara.  Tuntasnya, bangunan bersejarah di negara kita sememangnya dapat memberi ikhtibar dan pengajaran kepada generasi muda kerana yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.
            
Di samping itu, bangunan bersejarah dan monumen memberi banyak manfaat dari sudut pelancongan.  Hal ini demikian kerana bangunan bersejarah dapat menarik pelancong sama ada pelancong tempatan mahupun pelancong dari luar negara untuk melawat negara kita. Kita sedia maklum bahawa bangunan ini juga menjadi salah satu faktor dominan pelancong bercuti di negara kita selain menyaksikan kehebatan bangunan yang moden seperti Menara Berkembar Petronas.  Kehalusan seni bina dan keunikan reka bentuk bangunan tersebut mampu menjadi tarikan para pelancong untuk berkunjung ke tempat-tempat tersebut.  Sebagai contoh, bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur mempunyai unsur seni yang tiada tolok bandingnya.  Di samping itu, pelancong juga dapat melawat bangunan bersejarah dan menyaksikan monumen-monumen yang terdapat di  lokasi yang dikunjungi di samping menyaksikan keindahan alam semula jadi dan artifak-artifak di dalam muzium dan galeri seni lukis.  Oleh itu, bangunan bersejarah perlu dipulihara  dan diubah suai.  Sebagai contohnya, bangunan lama hendaklah diubah suai untuk dijadikan muzium, galeri seni lukis dan pusat pelancongan.  Fenomena ini sudah menjadi suatu perkara biasa di beberapa buah negara Eropah, Perancis, Itali dan Belanda.  Bandar-bandar bersejarah seperti York, Bath, Oxford dan Cambridge di England telah berjaya melindungi sebahagian besar daripada bangunan bersejarah mereka dengan baik.  Usaha seperti ini dapat menarik pelancong dari seluruh dunia dengan lebih banyak dan dapat menjadi sumber pendapatan negara.  Oleh itu, bangunan dan monumen ini secara tidak langsung dapat membantu industri pelancongan negara.
            
Seterusnya, pemuliharaan bangunan bersejarah juga penting sebagai salah satu cara untuk memupuk semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda.  Kita sedia maklum bahawa bangunan bersejarah amat penting kerana semangat patriotisme dalam kalangan remaja sejak belakangan ini semakin menipis.  Dalam konteks ini, bangunan bersejarah perlu dikekalkan untuk menjadi tatapan dan penghayatan generasi muda.  Sebagai contoh, Kota A Famosa di Melaka dan Kota Cornwallis di Pulau Pinang dapat mengingatkan kita tentang usaha mempertahankan kedaulatan negeri Melaka dan Pulau Pinang pada zaman penjajahan dahulu.  Tinggalan sejarah ini boleh mengingatkan  generasi muda tentang segala pahit maung yang dilalui oleh pejuang nasionalis ketika memerdekakan tanah air.  Peribahasa Melayu biar putih tulang jangan putih mata sentiasa tersemat di dalam hati para pejuang negara ketika itu.  Secara tidak langsung, hal ini dapat mencelikkan minda generasi muda agar  sentiasa berwaspada terhadap musuh negara yang sentiasa mencari peluang untuk menjajah negara kita sekali gus berjuang bermati-matian untuk ibu pertiwi daripada dicerobohi oleh kuasa asing.  Oleh itu, bangunan bersejarah penting dalam memupuk semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda bagi mempertahankan negara kita  yang tercinta.
            
Ada pendapat mengatakan bahawa, bangunan dan monumen lama juga turut memainkan peranan yang penting dalam pendidikan di negara  kita khususnya kepada para pelajar dan penyelidik.  Kita sedia maklum bahawa pelbagai ilmu akan dapat dipelajari dengan memahami dan mengkaji bangunan dan monumen lama.  Sebagai contoh, dengan terdapatnya bangunan dan pancutan air Horse di sekitar Dataran Merdeka dan Masjid Jamek di pertemuan Sungai Gombak dan Klang di Kuala Lumpur, seseorang dapat mengetahui bukan sahaja kepentingan Kuala Lumpur dalam era kolonial British tetapi juga kehidupan dan kebudayaan masyarakat penjajah dan tempatan pada ketika itu.  Bangunan Kelab Di Raja Selangor dan Dataran Merdeka telah dibina bagi kemudahan sosial dan rekreasi khasnya kepada rakyat British dan Eropah yang berkhidmat di Tanah Melayu pada akhir abad ke-19.  Begitu juga halnya dengan kepentingan pancutan air Horse yang telah dibina di persimpangan Jalan Raja dan Raja Laut pada tahun 1897.  Pancutan air Horse dibina sebagai memperingati seorang inspektor polis negeri Selangor, iaitu Encik Steve Harper.  Pemuliharaan dan penghayatan kemaslahatan bangunan bersejarah dapat memberi maklumat kepada pelajar tentang peristiwa yang pernah berlaku di negara kita kerana tak kenal maka tak cinta.  Sesungguhnya, bangunan bersejarah dan monumen sememangnya mempunyai nilai yang tersendiri dan menjadi bahan rujukan kepada pelajar dan penyelidik.
            
Sebagai penghias bicara akhir,  bangunan bersejarah amat vital dalam pembentukan minda generasi muda terutamanya ke arah penghayatan warisan dan khazanah negara.  Bangunan dan monumen yang bersejarah merupakan aset yang patut dipelihara dan diwarisi.  Bangunan bersejarah juga akan memangkin jiwa generasi muda agar lebih menghargai dan peka akan perkembangan sejarah negara.  Hal ini akan membentuk masyarakat yang  sensitif akan sebarang usaha untuk merobohkan atau memusnahkan bangunan bersejarah.  Sesungguhnya, pihak kerajaan pula perlulah mewartakan bangunan bersejarah yang perlu dikekalkan.  Oleh hal yang demikian, mana-mana pihak yang merobohkan dan memusnahkan bangunan bersejarah, mereka perlulah dikenakan tindakan undang-undang.  Cintailah sejarah ibu pertiwi kita demi kemantapan perjuangan rakyat kita kerana nilai sejarah tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas.

6 comments :

  1. Not bad...thanks

    ReplyDelete
  2. Thanks. .it's useful. .

    ReplyDelete
  3. its very useful for referral , thank you so much ^^

    ReplyDelete
  4. giler terer bm. boleh ajar saya x? hehe

    ReplyDelete
  5. padu giler ayat... memang membantu..

    ReplyDelete
  6. thank u it help me for my exam.

    ReplyDelete