Dewasa
ini, semakin hari, semangat sayang-menyayangi dalam masyarakat semakin terhakis
ditelan arus pemodenan dan kemajuan negara. Hal ini terbukti apabila saban hari
kita dihidangkan dengan pelbagai kejadian jenayah seperti kes pembunuhan,
ragut, rogol serta kes pembuangan bayi yang tidak berdosa. Kejadian-kejadian
tersebut sekali gus memadamkan semangat sayang-menyayangi dalam masyarakat
antaranya sikap mengambil berat, prihatin dan saling-menghormati dalam
masyarakat. Hal ini demikian kerana masyarakat penyayang hanya dapat dibentuk
melalui persaan saling-menyayangi dan menghormati sesama ahli keluarga yang
merupakan asas kepada pembentukan masyarakat. Ibu bapa mempunyai peranan besar
dalam melahirkan individu yang penyayang sekali gus mewujudkan masyarakat yang
penyayang di nusa tercinta ini.
Ibu
bapa berperanan memberikan kasih sayang yang secukupnya kepada anak-anak.
Kehidupan anak-anak harus diisi dengan kasih sayang oleh ibu bapa dengan menyemai
sikap penyayang dalam diri anak-anak sejak kecil lagi seperti kata peribahasa melentur
buluh biarlah dari rebungnya. Sifat kasih sayang yang dipupuk sejak
kecil akan lebih mudah terlaksana malah akan terus sebati dalam diri anak-anak
apabila mereka dewasa. Dalam hal ini, kehadiran ibu bapa amat penting dalam
tempoh anak-anak membesar. Sebagai contoh, ibu bapa harus sentiasa berada di
samping anak-anak semasa mereka dalam kekecewaan seperti gagal dalam peperiksaan untuk menenangkan hati
dan sanubari mereka. Sekiranya, hal ini diberikan perhatian oleh ibu bapa maka
anak-anak akan berasa dihargai dan masalah yang mereka alami akan dapat
diselesaikan melalui pertolongan ahli keluarga. Tegasnya, ibu bapa harus sedia
melapangkan waktu untuk mencurahkan kasih sayang kepada anak kerana ibu bapa
merupakan insan terhampir dengan diri anak-anak.
Selain itu, didikan agama juga perlu untuk melahirkan masyarakat yang penyayang di
negara kita. Hal ini demikian kerana tidak ada agama yang diturunkan oleh
Allah s.w.t yang mengajar penganutnya bersikap kasar dan ganas kepada individu
lain apatah lagi dalam kalangan ahli keluarga sendiri. Sehubungan dengan itu,
ibu bapa seharusnya mengajar anak-anak mereka mendalami ilmu agama dan
mendekatkan diri kepada Tuhan. Contoh amalan yang boleh diajar kepada anak-anak
adalah menunaikan solat fardhu, membaca Al-Quran dan berzikir. Bagi
penganut-penganut agama lain, ibu bapa perlu selalu mengajak anak-anak mereka
ke rumah ibadat. Ibu bapa juga boleh menceritakan pada anak-anak, kisah teladan
akan kebaikan mengamalkan nilai kasih sayang dalam kehidupan hatta bersikap
kasih sayang kepada binatang. Amalan-amalan ini akan melembutkan hati dan
mententeramkan jiwa serta melahirkan anak-anak yang bersahsiah mulia. Sifat ini
akan menjadi darah daging dalam diri anak-anak dan mendorong mereka untuk
berperi laku baik seterusnya sentiasa menyayangi keluarga. Oleh itu, tidak
dapat dinafikan lagi didikan agama yang secukupnya amat penting dalam
melahirkan individu penyayang.
Di samping itu, ibu bapa juga haruslah menunjukkan nilai-nilai yang baik kepada
anak-anak mereka. Ibu bapa mestilah menjadi suri teladan kepada anak-anak
mereka dan tidak bersikap seperti ketam mengajar anaknya berjalan
betul. Hal ini demikian menunjukkan keperibadian anak-anak mencerminkan
perwatakan ibu bapa mereka. Banyak nilai baik yang boleh ditunjukkan kepada
anak-anak. Sebagai contohnya, ibu bapa mengamalkan semangat kejiranan yang
tinggi. Antaranya, mereka perlu melibatkan diri dalam aktiviti gotong-royong,
menziarahi jiran yang sakit serta dilanda musibah. Ibu bapa janganlah
sekali-kali menunjukkkan sikap zalim dan menindas atau menipu orang lain
khususnya di hadapan anak-anak. Nilai-nilai baik ini akan menjadi ikutan
kepada anak-anak. Jelas bahawa, semangat hormat-menghormati, bekerjasama dan
saling-membantu dalam masyarakat akhirnya membentuk sifat penyayang dalam diri
anak-anak yang juga merupakan ahli masyarakat.
Seterusnya, keadaan keluarga yang stabil dari segi fizikal dan rohani juga amat
perlu bagi melahirkan individu dan masyarakat yang penyayang. Ibu bapa
mempunyai peranan besar dalam membentuk keluarga yang stabil. Keluarga yang
stabil dari segi fizikal ialah keluarga cukup dari segi kewangan serta mampu
menyediakan segala kemudahan dan keperluan hidup berumah tangga. Manakala
keluarga yang stabil dari segi rohani ialah keluarga yang saling-menyayangi ,
hormat-menghormati serta saling-membantu. Sekiranya kedua-duanya dapat dipenuhi
oleh ibu bapa maka anak-anak akan hidup dalam keadaan tenang dan harmonis tanpa
mengalami sebarang tekanan. Mereka akan lebih terpaut hati untuk berkongsi
masalah dengan ibu bapa berbanding menceritakan masalah yang dihadapi dengan
rakan yang kurang dikenali hati budinya. Di samping itu juga, ibu bapa harus
memastikan hubungan kekeluargaan sesama ahli keluarga erat bagi melahirkan
keluarga yang penyayang. Hubungan yang renggang dalam kalangan ahli keluarga
menyebabkan anak-anak akan mencari ‘kasih sayang’ di luar rumah yang akhirnya
akan menjahanam dan memusnahkan kehidupan mereka.
Masyarakat
penyayang juga dapat dilahirkan melalui
hubungan baik dengan masyarakat sekeliling. Ibu bapa harus mendekatkan
anak-anak dengan masyarakat setempat bagi mewujudkan hubungan baik dengan
masyarakat. Sebagai contoh, ibu bapa boleh mengajak anak-anak untuk menyertai
gotong-royong di kawasan tempat tinggal atau solat berjemaah di surau atau
masjid. Ibu bapa juga perlu memberikan kesedaran kepada anak-anak mereka akan
peri pentingnya nilai kasih sayang dalam kehidupan khususnya semasa
berinteraksi dengan masyarakat pelbagai kaum. Dengan menjadikan negara-negara
lain sebagai contoh dan teladan seperti perang saudara yang berlaku di Somalia
ditambah lagi dengan kebuluran yang berlaku, anak-anak dapat diajar tentang
kepentingan amalan kasih sayang. Melalui kasih sayanglah pelbagai bantuan
dihulurkan oleh masyarakat antarabangsa kepada negara-negara yang ditimpa
bencana seperti bencana Tsunami yang berlaku di Jepun baru-baru ini. Jelas
bahawa, hubungan silaturahim yang erat dapat melahirkan individu dan masyarakat
yang penyayang.
Konklusinya, ibu bapa berperanan
besar dalam melahirkan individu dan sekali gus masyarakat yang penyayang di
negara kita. Oleh itu, ibu bapa harus meningkatkan peranan mereka semaksimum mungkin, namun dalam
masa yang sama tidak mengamalkan sikap pilih bulu antara anak-anak. Apa
yang diharapkan oleh semua orang ialah amalan kasih sayang yang berjaya
dipraktikkkan akan mampu mewujudkan masyarakat
yang sejahtera. Ingatlah!, individu yang penyayang akan mewujudkan keluarga
cemerlang seterusnya melahirkan masyarakat serta bangsa yang terbilang.
0 comments :
Post a Comment