© 2013 HAK CIPTA TERPELIHARA SUBBASH EKAMBARAM. Powered by Blogger.

Monday 21 January 2013

USAHA- USAHA MEMPOPULARKAN PUISI TRADISIONAL DALAM KALANGAN MASYARAKAT


Selari dengan maksud peribahasa bagai cendawan tumbuh selepas hujan, kini Malaysia sedang bergerak seiring dengan arus globalisasi yang membawa kepada  kemajuan pembangunan dan perubahan besar dalam masyarakat. Rentetan dengan perkembangan tersebut, masyarakat hari ini lebih terdedah kepada alam siber sehingga memberikan kesan kepada komunikasi serta cara berinteraksi dalam masyarakat.  Lantaran itu juga, masyarakat seakan-akan lupa akan pelbagai  puisi tradisional yang merupakan warisan pusaka masyarakat silam. Sebagi contoh, amalan berpantun mula dianggap remeh, dipandang enteng serta mula disisihkan daripada arus perdana kehidupan masyarakat. Dalam hal ini, sebelum nasi menjadi bubur, semua pihak  perlu mencari pendekatan yang pragmatik lagi  efektif bagi mempopularkan puisi tradisional bersesuaian dengan kata peribahasa  kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.  Prakarsa yang berkesan untuk mempopularkan puisi tradisional patut diusahakan secara bersungguh-sungguh bagi memastikan genre tersebut  tidak terkubur begitu sahaja.

Pihak ibu bapa dianggap pihak yang paling dominan berperanan memperkenalkan  dan mempopularkan puisi tradisional kepada generasi muda khususnya kepada anak-anak mereka. Hal ini demikian kerana kebanyakan ibu bapa menjadi suri teladan kepada anak-anak yang sedang membesar. Ibu bapa perlu  mendedahkan puisi tradisional kepada anak-anak mereka sejak kecil bertepatan dengan peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya.  Mereka boleh membelikan anak-anak, buku-buku berkaitan puisi tradisional sebagai hadiah sempena hari ulang tahun  ataupun sebagai hadiah kerana cemerlang dalam akademik di sekolah. Sebagai contoh, ibu bapa boleh menganjurkan pertandingan melafazkan pantun melalui program tertentu seperti Hari Keluarga bagi menghidupkan lagi budaya berpantun dalam kehidupan harian.  Inisiatif ini dapat memberikan peluang kepada seluruh ahli keluarga yang mengambil bahagian untuk cuba mencipta pantun atau melafazkan pantun. Jelaslah bahawa melalui usaha tersebut secara tidak langsung akan mempopularkan genre puisi tradisional ini serta mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama ahli keluarga, bak kata peribahasa sambil menyelam minum air.

Selain itu, usaha pihak kerajaan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia yang memasukkan puisi tradisional dalam Komsas Bahasa Melayu di sekolah perlu dipuji. Rentetan daripada itu, pihak sekolah hendaklah menubuhkan kelab atau persatuan yang memberi penekanan kepada pelbagai puisi tradisional. Dengan berpayungkan kelab atau persatuan Budaya Bangsa, pelajar boleh belajar tentang cara mencipta dan melafazkan pantun, bersyair serta berseloka.  Setelah mengetahui secara mendalam tentang pelbagai puisi tradisional,  pelajar akan lebih rasa berminat untuk mempersembahkannya. Usaha menanam minat puisi tradisonal terhadap generasi muda penting kerana mereka merupakan akar tunjang yang bakal mewarisi warisan pusaka bangsa serta mewarnai masyarakat masa hadapan. Penglibatan pelajar secara langsung dalam pelbagai puisi tradisional nescaya dapat mempopularkan genre tersebut di Malaysia daripada membiarkan seni budaya kita terus pupus dan lenyap begitu sahaja. Bertepatan dengan kata peribahasa, tak kenal maka tak cinta, maka komitmen pihak sekolah amat dituntut, agar putera-puteri yang sedang berjuang di medan ilmu dapat bergiat aktif mempopularkan puisi tradisional di samping mengukuhkan kecintaan mereka terhadap budaya bangsa.

Seterusnya, usaha mengadakan pelbagai kempen cintai puisi tradisional merupakan  satu kaedah yang ampuh untuk mempopularkan genre tersebut di negara kita. Kempen ini perlu dijalankan oleh Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan secara terancang dan berkesan dengan kerjasama pihak media cetak dan media elektronik seperti akhbar dan televisyen. Pihak media massa perlu menyiarkan rencana dan dokumentari untuk memperkenalkan puisi tradisional di negara kita. Selain memperkenalkan sejarah dan cara melafazkan sesuatu puisi tradisional, pihak media perlu memberikan kesedaran kepada orang ramai akan kepentingan memelihara puisi tradisional kepada masyarakat.  Pelbagai aktiviti harus dianjurkan sempena kempen tersebut, seperti peraduan mencipta dan melafazkan pantun, syair, gurindam dan seloka.  Melalui proses tersebut, genre-genre tersebut boleh menjadi lebih popular di merata tempat bersesuaian dengan kata peribahasa seperti pegaga tumbuh melata. Jelas bahawa dengan kerjasama padu yang dilakukan tanpa mengenal rasa jemu sudah pasti puisi tradisional semakin popular khususnya kepada generasi baru.

Pertukaran budaya dengan negara-negara jiran misalnya, melalui ASEAN merupakan inisiatif lain yang boleh dilakukan bagi mempopularkan puisi tradisional. Hal ini demikian kerana terdapat banyak persamaan budaya dalam kalangan penduduk negara ASEAN seperti Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei yang boleh dikongsi bersama. Apabila program tersebut dilaksanakan maka pelajar dari negara-negara Asean dan Negara luar yang lain yang datang ke Malaysia, akan berpeluang mengenali lebih lanjut tentang puisi tradisional.  Apabila mereka pulang ke negara mereka kelak,mereka akan mempraktikkan dengan rakan-rakan serta ahli keluarga mereka. Usaha ini secara tidak langsung membolehkan nama Malaysia akan masyhur di persada antarabangsa dan rakyat Malaysia boleh berbangga kerana rakyat Malaysia masih memiliki pelbagai puisi tradisional walaupun menghadapi arus kemodenan. Hal ini penting agar puisi tradisional tetap kekal terpelihara seperti kata peribahasa tak lapuk dek hujan,tak lekang dek panas. Perkara yang sama berlaku apabila pelancong asing melancong ke Malaysia dan menginap di desa-desa. Mereka akan diperdengarkan pelbagai jenis puisi tradisional yang penuh keunikan. Diharapkan langkah ini akan membuatkan para pelancong  terhibur sekali gus berminat dengan acara-acara yang disediakan dan ingin datang kembali ke Malaysia. Jelas bahawa, pertukaran budaya antara negara mampu menjadi platform dalam usaha kerajaan mempopularkan puisi tradisional kepada masyarakat dalam dan luar negara.

Tidak disangkalkan lagi, penganjuran pelbagai bentuk pertandingan merupakan inisiatif yang agak praktikal untuk mempopularkan puisi tradisional kepada masyarakat di Malaysia. Melalui pertandingan tersebut, semua pihak yang mengambil bahagian akan saling bertukar pengalaman dan mengukuhkan ukhuwah antara mereka. Hal ini demikian kerana sebagai fitrah manusia, segelintir masyarakat  memang suka bertanding untuk mendapatkan sesuatu. Agensi-agensi kerajaan dengan kerjasama pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) boleh bergabung dengan sektor korporat seperti Proton, TM Net dan Maxis menganjurkan pertandingan melafazkan puisi tradisional di peringkat sekolah, daerah, kebangsaan hinggalah ke peringkat antarabangsa. Dalam konteks ini, contoh yang terbaik ialah  Pesta Pantun Peringkat Kebangsaan anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka yang menawarkan Piala Sirih Pulang ke Gagang dapat mencungkil bakat dan kreativiti pelajar dalam mencipta dan melafazkan pantun.Terbukti di sini,  penganjuran pertandingan sebegini berjaya memperkenalkan puisi tradisional dalam kalangan masyarakat sekali gus mempromosikan industri pelancongan kepada pelancong dalam dan luar negara.

Kesimpulannya, semua bangsa tidak sepatutnya membiarkan khazanah budaya mereka termasuk puisi tradisional lenyap ditelan zaman kerana warisan tersebut adalah  khazanah dunia yang begitu tinggi nilainya. Walaupun Malaysia  sedang mengorak langkah  ke arah negara maju  pada tahun 2020, kita tidak seharusnya menjadi seperti kacang lupakan kulit yang mengabaikan peninggalan warisan nenek moyang kita. Kita amat berharap pelbagai pihak tetap teguh memelihara khazanah budaya ini pada setiap masa kerana generasi terkini hanya sekadar meminjam warisan bangsa yang mungkin menjadi sanjungan generasi mendatang. Oleh itu, setiap anak watan di bumi tercinta ini perlu menyahut cabaran dan mempunyai semangat habis kapak berganti beliung untuk merealisasikan impian tersebut.

0 comments :

Post a Comment