Mutakhir ini, arus globalisasi yang menerjah dunia telah
memberi impak dan perubahan yang besar kepada negara sama ada dari segi
politik, ekonomi dan sosial. Dalam menongkah dan mengejar arus modenisasi ini,
kerajaan kita telah menggagaskan konsep 1 Malaysia yang berpaksikan slogan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.
Hal ini juga merupakan rentetan kepada Dasar Ekonomi Baru supaya semua lapisan
masyarakat dapat menikmati kemakmuran negara secara adil dan saksama. Menyedari
hakikat inilah kerajaan telah memperuntukkan sejumlah dana yang besar bagi memajukan
Industri Kecil dan Sederhana (IKS). Hal ini bertepatan dengan peribahasa Melayu
hati kuman sama di cecah, hati gajah sama dilapah. IKS telah dibangunkan dengan pesatnya umpama cendawan
tumbuh selepas hujan. Contoh Industri Kecil dan Sederhana (IKS) ialah kilang
kraf tangan, kilang keropok, perusahaan batik, kilang mi dan lain-lain lagi.
Terdapat banyak kepentingan IKS kepada masyarakat dan negara.
Salah satu kepentingan IKS ialah dapat meningkatkan
ekonomi masyarakat terutamanya penduduk di luar bandar. Kita sedia maklum bahawa industri ini banyak
didirikan di kawasan luar bandar selaras dengan konsep ‘Satu Kampung Satu Produk’. Sebagai contoh kilang membuat kerepek, kilang membuat sos
tomato, kilang kraf tangan dan lain-lain
lagi. Pengusaha kilang dapat menjual
hasil keluaran mereka kepada penduduk-penduduk kampung serta
pengunjung-pengunjung yang lain. Selain itu, mereka juga boleh memasarkan hasil
IKS ini di pasar malam, pasar tani serta di karnival-karnival jualan. Meskipun
keuntungan penjualannya tidaklah seberapa, namun sikap gigih dan istiqamah
pengusaha IKS menyebabkan produk mereka akhirnya mendapat perhatian para
pengguna. Dalam usaha untuk mempromosi produk IKS ini, peribahasa yang pipih
tidak datang melayang, yang bulat tidak datang bergolek haruslah dijadikan
pegangan. Prinsip membujur lalu, melintang patah iaitu berani menghadapi
cabaran dan dugaan dalam perniagaan merupakan resipi kejayaan ramai pengusaha
IKS pada hari ini. Oleh hal yang
demikian, jelaslah bahawa IKS ini sangat penting untuk meningkatkan pendapatan
penduduk di luar bandar dan seterusnya meningkatkan ekonomi negara.
Selain itu, IKS juga dapat membuka dan memberi peluang
pekerjaan kepada masyarakat terutamanya penduduk kampung. Kita sedia maklum
bahawa untuk menjana dan meningkatkan hasil pengeluarannya pengusaha IKS ini
memerlukan pekerja yang ramai. Sebagai contoh, kilang membuat kerepek
memerlukan pekerja untuk menyediakan bahan, memasak, membungkus serta memasarkan
produk mereka. Sekurang-kurangnya kilang IKS tersebut memerlukan antara 15
hingga 20 orang pekerja untuk menjalankan operasinya. Dalam usaha untuk
meminimumkan kos serta meningkatkan produktiviti, sudah tentu pengusaha IKS akan
memilih para pekerja dalam kalangan masyarakat setempat . Hal ini telah akan membuka
peluang kepada suri rumah, ibu tunggal atau orang kurang upaya (OKU) untuk
bekerja di situ. Sikap pengusaha IKS yang prihatin serta mengutamakan khidmat
sosial kepada masyarakat setempat, akan mewujudkan perasaan kekitaan terhadap
IKS yang diwujudkan di sesuatu kawasan itu. Peribahasa Melayu ada mengatakan orang
berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa, ironinya, para pekerja
tersebut akan berusaha dengan gigih untuk meningkatkan mutu serta kualiti
produk kilang tersebut. Jelaslah bahawa IKS ini bukan sahaja dapat membuka
peluang pekerjaan kepada penduduk kampung malah dapat membantu negara
mengurangkan masalah pengangguran.
Di samping itu, pembinaan IKS di kawasan-kawasan luar
bandar juga dapat membantu meningkatkan sektor pertanian dan perikanan. Kita
sedia maklum bahawa IKS memerlukan bahan-bahan mentah untuk proses pengeluaran
kilang mereka. Biasanya bahan-bahan mentah ini adalah daripada hasil pertanian, perikanan atau perhutanan. Tamsilnya
kilang membuat keropok memerlukan hasil tangkapan laut, manakala kilang kerepek
pula memerlukan hasil pertanian seperti ubi, keladi, pisang, jagung dan
lain-lain. Secara tidak langsung aktiviti pertanian dan perikanan turut meningkat di kawasan
tersebut. Hasil pertanian sara diri penduduk kampung yang selama ini sukar
untuk dipasarkan, kini telah menjadi rebutan para pengusaha IKS. Hukum ekonomi
menjelaskan bahawa kadar permintaan mempengaruhi penawaran dan harga barangan.
Implikasinya harga barang mentah pertanian seperti ubi, pisang, keledek, keladi
akan meningkat. Secara tidak langsung
sektor pertanian akan meningkat. Hal ini, diperkukuhkan lagi dengan dasar
kerajaan yang memberi perhatian serius untuk membantu meningkatkan pendapatan
petani dan nelayan. Oleh hal yang demikian, dalam usaha memenuhi permintaan IKS
terhadap bahan mentah yang semakin meningkat
kerajaan melalui agensi-agensi pertanian seperti FAMA, MARDI, PELADANG dan
sebagainya telah memberi khidmat kepakaran dan subsidi kewangan kepada para
petani dan nelayan. Tuntasnya, IKS ini merupakan serampang dua mata kerana kewujudannya bukan sahaja dapat meningkatkan
ekonomi malahan dapat membasmi kadar kemiskinan rakyat di negara kita yang tercinta ini.
Ada pendapat yang mengatakan bahawa melancong ke Malaysia
umpama telah melancong ke separuh dunia. Hal ini kerana, di Malaysia terdapat
pelbagai kesenian dan budaya daripada penduduk pelbagai bangsa dan agama. Apakah
kaitan penyataan ini dengan IKS? Kolerasinya ialah kewujudan IKS dapat
meningkatkan sektor pelancongan di negara kita. Kita sedia maklum bahawa para
pelancong suka membeli kraftangan untuk
dibawa pulang. Sebenarnya di Malaysia terdapat banyak barangan kraftangan
daripada pelbagai etnik dan kaum yang menjadi warganegara Malaysia. Sebagai
contoh perusahaan membuat tembikar, pasu bunga, ukiran, labu sayong, batik,
songket, tikar, bakul barangan hutan dan lain-lain lagi. Hasil kraf tangan
melambangkan identiti serta jati diri negara. Para pelancong membelanjakan
berjuta-juta ringgit untuk membeli
kraftangan ini sebagai cenderamata kenang-kenangan atau hadiah kepada rakan-rakan apabila pulang kelak. Dalam
hal ini peribahasa Melayu ada menyebut bahawa “tak tumbuh, tak melata, tak
sungguh orang tak kata”. Hal ini menjelaskan bahawa kualiti serta keunikan
kraftangan Malaysia akan menarik lebih
ramai pelancong ke negara kita. Ironinya perkara ini bukan sahaja akan
meningkatkan imej Malaysia sebagai negara berbilang bangsa malahan dapat
meningkatkan ekonomi negara menerusi sektor pelancongan.
Konklusinya,
terdapat banyak kemaslahatan Indutri Kecil dan Sederhana (IKS) kepada
masyarakat dan negara kita. Sebagai rakyat Malaysia kita tidak seharusnya
membiarkan peluang ini berlalu begitu sahaja. Kita perlu gigih meningkatkan
kualiti IKS kerana industri ini sebenarnya merupakan sebahagian daripada
barangan keluaran tempatan yang berperanan meningkatkan imej negara di mata
dunia. Apabila masyarakat sama ada di dalam atau di luar negara menggunakan
sahaja barangan IKS, maka secara tidak langsung jati diri negara telah
terserlah. Oleh hal yang demikian, semua
pihak iaitu pihak kerajaan, swasta, masyarakat serta individu perlulah
bekerjasama untuk meningkatkan industri ini. Dana yang besar telah
diperuntukkan oleh kerajaan perlu digunakan sebaik-baiknya bagi tujuan
memajukan IKS. Diharapkan barangan
keluaran IKS mampu bersaing dalam pasaran
di peringkat tempatan dan juga persada antarabangsa. Hal ini juga
selaras dengan gagasan 1 Malaysia iaitu, Rakyat didahulukan, Pencapaian
diutamakan.
minta izin untuk menggunakan sedikit ilmu yang berguna ini.. terima kasih..
ReplyDeleteterima kasih bnyk2 ats p'kongsian ilmu yg sgt bermanfaat ini. Mohon diambil sedikit maklumat di sini utk bhn kajian saya. trima kasih.
ReplyDeleteterima kasih kerana sudi berkongsi maklumat....mohon share ye.. ;)
ReplyDeleteizinkan ana utk salin.. terima kasih :)
ReplyDelete